Sorting by

×

MELAKA SEDIA JADI LOKASI PILIHAN JUALAN LARUT MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 4 Mei – Melaka bersedia menjadi tuan rumah kali kedua penganjuran jualan hebat larut malam, Malaysia Midnight Sale sekiranya hasrat itu disuarakan Tourism Malaysia.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, ia memandangkan penganjuran kali pertama bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Mei 2025 mendapat sambutan hebat apabila lebih 15,000 pengunjung termasuk pelancong memeriahkan program berkenaan.

“Sekiranya hasrat itu disampaikan kepada kita untuk diadakan penganjuran siri berikutnya kita menyambut baik perkara tersebut.

“Malah sudah pasti penganjuran kali kedua akan diurus dengan lebih berstruktur dan lebih banyak pengisian program diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Malaysia Midnight Sale 2025 yang berlangsung di Mahkota Parade, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Zaidi, pemilihan lokasi baharu bagi sambutan Melaka Bila Larut Malam di dalam kompleks beli belah juga dilihat memberi suasana baharu dan kelainan kepada pengunjung termasuk pelancong yang datang ke Melaka.

“Kebiasaannya sambutan atau persembahan Melaka Bila Larut Malam diadakan di perkarangan Bangunan Stadthuys, jadi kali ini kita bawakan ke lokasi baharu untuk memberi suasana berbeza.

“Untuk Melaka Bila Larut Malam ini di pihak Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan sentiasa merangka serta menyusun atur program-program baharu khas untuk pengunjung dan pelancong,” katanya.

Jelasnya, sehingga jam 10 malam pada Sabtu seramai 32,122 pengunjung termasuk pelancong telah direkodkan mengunjungi sekitar Banda Hilir terutamanya di sekitar Bangunan Stadthuys.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

827
Kongsi :
Previous post MALAYSIA MIDNIGHT SALE MERIAH
Next post MELAKA RIVER CRUISE JADI TUMPUAN DI SINGAPURA