Melaka sedia laksana RUU Anti Lompat Parti

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Melaka bersedia untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti selepas diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata RUU tersebut akan dilaksanakan di Melaka kerana ia merupakan salah satu manifesto BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya, sebagai negeri yang mempunyai kekuatan tiga per empat kerusinya datang dari parti BN, Melaka sudah pasti akan bersetuju untuk melaksanakannya.

“Apabila Parlimen sudah bersedia, maknanya kita di peringkat negeri Melaka juga sudah bersedia.

“Melaka telah lama bersedia untuk laksana RUU Lompat Parti ini selepas kemenangan besar pada PRN lalu, kalau boleh buat kita (Melaka) dah buat tapi tak boleh (dan) perlu tunggu kelulusan di peringkat Parlimen.

“Jadi bila dah lulus, semestinya kita sudah bersedia, kerana memang sudah ada dalam manifesto kita (BN) untuk laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Sidang 2 Penggal ke-33 Tahun 2021-2022 di Hotel Muzaffar di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugan; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Ridhwan Ali serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Khairul Adri Rosli.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata bagaimanapun, RUU tersebut perlu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri.

Katanya, di peringkat negeri akan diberikan tempoh masa atau ‘time frame’ untuk dibincangkan di peringkat negeri sebelum dilaksanakan.

Semalam, media melaporkan Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan RUU anti-lompat parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.

RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari bermula semalam melibatkan 54 Ahli Parlimen.

Semasa undi belah bahagi yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat Rakyat Azhar Harun, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan RUU itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1070
Kongsi :
Previous post Saksi masih positif COVID-19, bicara rasuah Ahmad Zahid tangguh lagi
Next post Polis siasat kes wanita dakwa anak autisme didera guru pusat terapi
Ubah saiz-+=