Melaka siap sedia hadapi gelombang kedua masalah air

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Kerajaan negeri bersiap sedia lebih awal dengan melakukan penjimatan sumber air bagi menghadapi gelombang kedua yang diramal berlaku pada musim kemarau, Oktober ini.

 

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) untuk melakukan penjimatan itu sebagai langkah awal untuk mengelakkan masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan masalah catuan disebabkan kekurangan bekalan.

“Dalam bulan September dan Oktober adalah gelombang kedua, oleh itu, langkah awal diambil bagi mendepani masalah itu.

“Insha-ALLAH kita dapat menangani isu air ini supaya tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, di sini sempena pembukaan semula sesi persekolahan bagi pelajar tingkatan lima.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Negeri, Datuk Noor Effendi Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Azam Ahmad.

Menurut Sulaiman, kerajaan negeri turut meneliti semula penambahbaikan berhubung perkara itu termasuk berkaitan perjanjian air bersama kerajaan Johor bagi meningkatkan kapasiti air ke Melaka.

“Setakat ini, pengambilan air dari Johor adalah sebanyak 220 juta liter sehari dan itu adalah kadar maksimum yang boleh diambil berdasarkan kapasiti kita.

“Melainkan jika kita boleh meningkatkan kapasiti kita, kerajaan Johor pada bila-bila masa bersedia untuk membantu. Buat masa ini kekal sedia ada,” katanya.

Views:

722
Kongsi :
Previous post Diserbu pengunjung, UTC wujud laluan khas kaunter JPJ
Next post Edar pelitup muka, cecair basmi kuman di sekolah
Ubah saiz-+=