Melaka sokong hasrat PPM perkasa generasi muda

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 9 Mac – Kerajaan Negeri komited menyokong usaha Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam memainkan peranan sebagai rakan strategik, membantu menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu dilihat dapat membantu pergerakan pengakap kekal relevan dan efektif dalam memenuhi keperluan semasa dan mendatang.

Katanya, ia adalah usaha-usaha yang signifikan untuk memastikan generasi muda pada masa kini mempunyai asas yang kukuh dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

“Daripada sudut perspektif, saya melihat persekutuan pengakap di negara ini merupakan salah satu persatuan yang cukup kukuh dalam memperkasa semangat generasi muda ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.

“Selain daripada menyediakan latihan dan pengalaman yang meluas, pergerakan pengakap juga telah memberi pendedahan dan peluang untuk menjalankan khidmat masyarakat, memperluas jaringan sosial, serta memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan generasi muda.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya amat menghargai usaha, nilai-nilai yang diterapkan dalam setiap program dan aktiviti oleh pergerakan pengakap di negara ini serta percaya, usaha ini akan memperkukuh nilai-nilai positif seperti kerjasama, kreativiti, kesedaran sosial selain kemahiran untuk menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia di Balai Istiadat, Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada istiadat terbabit, Ab Rauf mendahului senarai antara 300 penerima dengan menerima Bintang Semangat Padi-Perak (BSP-Perak) yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada PPM kerana telah memilih bumi Melaka sebagai lokasi memberi pengiktirafan penerima anugerah dan pingat.

“Saya juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada 300 orang penerima Anugerah Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia serta 15 orang daripadanya merupakan penerima anugerah daripada perwakilan asing PPM antaranya dari Singapura, Taiwan, Thailand, Indonesia dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

616
Kongsi :
Previous post Ab Rauf terima Bintang Semangat Padi-Perak (BSPP)
Next post Petronas keluarkan amaran scam pelaburan palsu guna nama CEO, syarikat tanpa kebenaran
Ubah saiz-+=