Melaka sudah capai nilai pelaburan RM3 bilion – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 1 November – Kerajaan Negeri yakin mampu mencapai sasaran pelaburan RM5 bilion tahun ini berikutan jumlah pelaburan diterima setakat ini adalah sebanyak RM3 bilion.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat beberapa pelaburan baharu yang diterima tahun ini mencecah nilai lebih RM1 bilion.

“Insya-Allah sehingga hujung tahun ini kita akan mencapai sasaran tersebut yang mana pembesaran beberapa kilang begitu aktif termasuk sebuah kilang daripada Amerika yang sedang membawa pelaburan baharu sebanyak RM1.4 bilion di Batu Berendam.

“Ada juga kilang daripada Jerman juga telah membuat penambahan tapak operasinya yang menelan belanja lebih RM2 bilion, jadi ini dapat melengkapkan sasaran di peringkat Kerajaan Negeri membawa pelabur sehingga RM5 bilion akan tercapai.

“Setakat ini kita dah capai RM3 bilion, ia berlandaskan kepada syarikat semi konduktor dan elektronik, sasaran ini bukan sahaja dicapai dalam bentuk Pelaburan langsung asing (FDI) tetapi dapat memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak dalam Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kilang Ever Delicious Food Industries Sdn. Bhd. di Telok Mas di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mashitah Ismail dan Pengarah Urusan kilang berkenaan, Yo Bee Kiow.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, setakat ini, lebih 150,000 pekerja industri yang menerima manfaat daripada pelaburan asing masuk ke negeri ini adalah rakyat Melaka itu sendiri.

“Kita telahpun berjaya meletakkan Melaka sebagai tempat untuk rakyatnya mendapat nikmat daripada kestabilan kerajaan yang ada.

“Kerajaan yang ada sekarang berusaha membawa seberapa banyak pelabur masuk untuk memberikan kehidupan kepada rakyat Melaka yang bekerja di kilang-kilang yang melabur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2699
Kongsi :
Previous post ‘Yang penting menangkan BN bukan individu’ – Ab Rauf
Next post Teknologi mekanisasi tangani masalah kekurangan tenaga buruh di ladang
Ubah saiz-+=