Sorting by

×

MELAKA SUMBANG RM300,000 UNTUK INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM SWASTA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BUKIT PALAH 8 Mac – Sejumlah RM300,000 disalurkan Kerajaan Negeri Melaka kepada 30 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) bagi bantuan pembangunan institusi terbabit.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan kewangan itu disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) khusus kepada IPIS yang berdaftar penuh di Melaka.

“Setakat ini, sebanyak 30 IPIS telah berdaftar penuh manakala 69 pendaftaran sementara dan sembilan lagi masih dalam proses pendaftaran, selain lapan belum berdaftar.

“Saya amat berharap IPIS yang beroperasi di negeri ini dapat berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi menerima manfaat yang selayaknya,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada IPIS terpilih pada Majlis Iftar Jamaie Mega Bersama YAB Ketua Menteri Melaka Sempena Program Ihya’ Ramadan 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M yang berlangsung di Dataran Pusat Islam Melaka, di sini.

Majlis penyampaian diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, sebagai bantuan persiapan menyambut kedatangan Syawal, sejumlah RM945,000 diperuntukkan khusus untuk golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Peruntukan disalurkan itu membabitkan seramai 8,718 penerima manfaat di seluruh Negeri Melaka.

“Saya amat berharap, usaha dilakukan Kerajaan Negeri menerusi platform seumpama ini dapat merapatkan lagi ukwah kekeluargaan rakyat Melaka sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri bersama kira-kira 2,000 umat Islam berbuka puasa bersama pada majlis berkenaan yang merupakan penganjuran kali kedua.

Semua yang hadir menerima pek makanan iftar disediakan Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

13
Kongsi :
Previous post 2,000 MERIAHKAN IFTAR JAMAIE BERSAMA KETUA MENTERI
Next post BAZAR IKONIK BAWA IMPAK, AKAN DITERUSKAN TAHUN DEPAN – KM