Melaka tawar 3,423 rumah mampu milik, 3-5 Jun ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Sebanyak 3,423 rumah mampu milik ditawarkan buat anak negeri ini sekali gus membuka peluang individu yang layak untuk memiliki sebuah rumah.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom berkata, jumlah itu membabitkan empat jenis rumah mampu milik ditawarkan buat anak jati negeri ini.

Antaranya rumah kos rendah, rumah sederhana rendah, rumah mampu milik dan rumah belia ditawarkan pada harga antara RM70,000 sehingga RM180,000.

“Setakat ini jumlah yang diterima adalah 3,423 buah rumah ditawarkan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM624.5 juta dan angka rumah yang masih tersedia ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Menerusi rumah yang ditawarkan, LPM menawarkan Rumah Kos Rendah berjumlah RM70,000 seunit, Rumah Sederhana Rendah RM100,000 hingga RM120,000, Rumah Mampu Milik di bawah RM180,000 dan Rumah Belia bermula RM180,000.

“Seperti tawaran bagi Rumah Belia yang akan ditambah lagi kepada 208 unit ini, LPM menyediakan rebat faedah sehingga RM30,000 kepada penerima berikutan kita menawarkan diskaun 10 peratus, pengecualian duti setem dan pengecualian bayaran peguam dengan potongan keseluruhan sehingga RM6.5 juta faedah ditawarkan kepada penerima,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MOHD Salleh

Dalam pada itu, menurut Mohd Salleh, rakyat negeri ini perlu merebut peluang bagi menghadiri sebuah Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) yang akan dijalankan tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun depan.

Jelasnya, ekspo yang diadakan itu akan memberi pendedahan kepada pemohon bagi mendapatkan maklumat berkaitan permohonan perumahan di negeri ini.

“Kita mahu cuba sampaikan maklumat kepada pembeli bahawa di Melaka kita menawarkan rumah sedia ada di mana ia di dalam peringkat pembinaan dan peringkat perancangan.

“Malah, ekspo itu juga akan menyediakan perkhidmatan bimbingan kewangan dari pihak bank terlibat dengan tawaran pelbagai skim perumahan termasuk dari Melaka Finance House (MFH),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3087
Kongsi :
Previous post Syawal ubati rindu penghuni di balik ‘tembok besi’
Next post Terima suapan RM300, penjawat awam didakwa
Ubah saiz-+=