Melaka tawar Program Bulan Madu Kedua kepada pasangan bermasalah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TABOH NANING 9 Jan – Seramai 22 pasangan yang berdepan dengan pergolakan rumahtangga menjalani Program Bulan Madu Kali Kedua sebagai usaha untuk menyelamatkan penceraian.

Program yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka dengan kerjasama Mahkamah Syariah Negeri Melaka mendapat reaksi positif daripada semua pasangan yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar berkata dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19, kes penceraian semakin meningkat sama ada melibatkan pasangan muda mahupun bagi yang sudah lama berkahwin.

Katanya, trend itu menunjukkan kebimbangan dan berikutan itu kerajaan negeri menjalankan program seumpama itu bagi memupuk semula keserasian pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin.

“Program Bulan Madu Kali Kedua itu membabitkan 22 pasangan yang sudah berkahwin antara 10 hingga 15 tahun dan mengalami masalah dalam rumahtangga.

“Semua pasangan itu bermalam dua hari satu malam di Hotel Kobemas tanpa kehadiran anak-anak dan LPPKN memberikan penerangan supaya mereka berubah malah kita menyediakan makan malam secara ‘candlelight kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Wanita dan Kekeluargaan Parlimen Masjid Tanah di A’Famosa Clubhouse di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut Latipah, pihaknya juga merancang untuk menjalankan program sama membabitkan pasangan muda yang baru berkahwin dalam tempoh satu hingga lima tahun.

Views:

405
Kongsi :
Previous post COVID-19: Hospital Melaka penuh, pesakit dihantar ke MAEPS
Next post Pesawat Sriwijaya Air hilang kontak sebaik berlepas
Ubah saiz-+=