Melaka terima air percuma selama 70 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 4 Dis. – Johor membenarkan Melaka menggunakan air di Empangan Asahan yang berpunca dari Sungai Gemas secara percuma selama 70 tahun menerusi perjanjian yang termeterai semalam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, menerusi Perjanjian Empangan Asahan antara kedua-dua negeri itu, Melaka diberi kebenaran terbabit sehingga ia berakhir menjelang 2090.

“Melaka dibenarkan menggunakan air mentah di Sungai Gemas yang merupakan sumber utama bagi takungan air di Empangan Asahan sebanyak mana yang diperlukan bagi menampung keperluan rakyat Melaka khususnya di kawasan Kampung Asahan, Simpang Bekoh dan sebahagian kawasan di Tangkak, Johor.

“Perjanjian bersejarah ini membuktikan hubungan yang sedia erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Melaka, sekali gus meningkatkan lagi ruang kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan, pelancongan dan pendidikan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dikeluarkan di Facebook rasminya hari ini selepas memeterai perjanjian itu bersama Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Kota Iskandar, Johor, semalam.

Sulaiman turut memberi penghargaan kepada setiap delegasi yang terlibat bagi melestarikan kepentingan penggunaan air di negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan delegasi Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang sudi menerima kunjungan delegasi Melaka.

“Saya turut mengucapkan terima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Johor dalam usaha memuktamadkan penggunaan air melalui Perjanjian Empangan Asahan ini,” katanya.

Empangan Asahan merupakan empangan yang telah dibina pada tahun 1928 dan siap sepenuhnya pada tahun 1930 oleh Kerajaan British.

Air di Empangan Asahan ini di proses dan di rawat di Loji Rawatan Air Asahan dengan kapasiti maksima 6.5 juta liter sehari oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Views:

1120
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2021: Kemudahan jalur lebar perlu dinaik taraf
Next post Sungai Lubok China diselamatkan daripada hakisan
Ubah saiz-+=