Sungai Lubok China diselamatkan daripada hakisan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER LIMAU 4 Dis. – Sungai Lubok China, di sini yang diancam hakisan serius dan dibimbangi menyebabkan banjir besar melanda Pekan Lubok China akan diselamatkan melalui kerja pembaikan tebing.

Ini kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri tidak akan membiarkan tebing itu terus mengalami hakisan teruk, apatah lagi runtuh dan menyebabkan banjir besar melanda pekan berkenaan.

Bagaimanapun kerja berkenaan tidak mampu dijalankan sekarang kerana paras air sungai masih tinggi dan menyukarkan kerja pengukuhan tebing dibuat.

Pengarahnya Abdul Hakim Hamzah berkata, pihaknya terpaksa menunggu paras air turun sebelum memulakan kerja pembaikan tebing, walaupun peruntukan sudah disediakan bagi melaksanakan sebahagian daripada kerja itu.

PENGARAH JPS Melaka Abdul Hakim Hamzah

Dalam pada itu katanya, sebahagian lagi kerja berkenaan terpaksa menunggu peruntukan tahun depan kerana peruntukan tahun ini tidak mampu menampung keseluruhan kerja memperkukuh semula tebing sungai yang runtuh akibat hakisan.

Selain hakisan yang dikesan baru-baru ini katanya, terdapat hakisan lain telah berlaku sebelum ini dan masih belum dijalankan kerja pembaikan.

“Sebahagian kerja pembaikan hakisan akan dilaksanakan tahun ini dan peruntukan tambahan akan dimohon tahun 2021 untuk sebahagian lagi hakisan sungai yang baru berlaku,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Lubok China adalah satu daripada beberapa kawasan rendah di negeri ini yang sering menghadapi ancaman banjir setiap kali hujan lebat, terutama pada November hingga Januari.

Pekan Lubok China yang menempatkan puluhan rumah kedai dan beberapa taman perumahan dilaporkan diancam banjir besar berikutan tebing Sungai Lubok China mengalami hakisan serius akibat hujan lebat pertengahan bulan lalu.

Hujan lebat menyebabkan tebing sungai yang berada dalam wilayah Melaka terhakis, manakala tebing yang di sebelah Negeri Sembilan tidak mengalami hakisan.

Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Jaafar Atan berkata, jika tebing berkenaan runtuh, Pekan Lubok China diancam banjir besar dari arus sungai yang deras.

JAAFAR. Foto Din Ahmad

Jelasnya, sebelum ini sungai berkenaan hanya melimpah dan menyebabkan banjir di beberapa kampung dalam Daerah Rembau tetapi kali ini ia mengancam Pekan Lubok China dan beberapa taman dalam Daerah Alor Gajah.

“Jika tebing itu runtuh, bukan setakat Kampung Pengkalan Pauh yang terletak berhampiran bakal dilanda banjir, malah Pekan Lubok China yang kira-kira 700 meter dari sungai itu dibimbangi turut banjir,” katanya.

Views:

1998
Kongsi :
Previous post Melaka terima air percuma selama 70 tahun
Next post Malaysia gesa dunia halang penyebaran maklumat salah mengenai vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=