Melaka tidak rancang laksana PKPD di Serkam

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER MOLEK 7 Feb. – Melaka tidak merancang untuk memohon bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Kluster Industri Serkam meskipun terdapat lebih 600 pekerja industri di situ disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, selepas berbincang bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka pihaknya mendapati PKPD tidak relevan dilaksanakan.

RAHMAD Mariman. Foto fail

Katanya, ini kerana kes itu membabitkan dua kawasan besar merangkumi kuarters asrama yang menempatkan 1,400 pekerja asing dan kediaman kira-kira 400 pekerja tempatan yang tinggal di lokasi berbeza.

“Untuk melaksanakan PKPD bagi saya ia tidak relevan kerana taburan mereka yang dijangkiti membabitkan kluster ini ada di merata tempat. Bukan sahaja di asrama, malah ia turut membabitkan kawasan Merlimau, Serkam dan Ayer Molek.

“Kita tidak boleh melaksanakan PKPD di kawasan yang luas dan saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr. Adham Baba) semalam, bahawa buat masa ini tiada keperluan PKPD kerana keadaan masih terkawal,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pihaknya sudah meletakkan penguat kuasa keselamatan seperti anggota polis dan RELA di kawasan asrama pekerja asing untuk mengelakkan pekerja daripada keluar dalam tempoh kuarantin.

“Selain itu bagi pekerja tempatan pula, kita telah memastikan mereka sentiasa berada di rumah untuk menjalani kuarantin pada setiap hari.

“Pihak kilang turut mengambil inisiatif menyediakan makanan kepada pekerja yang menjalani kuarantin serta anggota yang bertugas setiap hari,” katanya.

Semalam Dr. Adham memaklumkan 604 pekerja sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam didapati positif COVID-19 sejak saringan dilakukan pada 1 Februari lalu.

Beliau yang melakukan tinjauan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di kilang itu menjelaskan jangkitan dipercayai bermula daripada seorang pekerja kilang yang bergejala sebelum menjangkiti pekerja lain kalangan warga tempatan dan asing.

Views:

469
Kongsi :
Previous post PN Melaka lancar Skuad Disinfeksi cegah COVID-19
Next post Penduduk Taman Bidara Indah dakwa tangki SAMB tidak berfungsi
Ubah saiz-+=