PN Melaka lancar Skuad Disinfeksi cegah COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PAYA RUMPUT 7 Feb. – Peningkatan ketara kes positif COVID-19 di Melaka sejak akhir-akhir ini mendorong Perikatan Nasional (PN) Melaka mengambil inisiatif melancarkan Skuad Disinfeksi untuk menjalankan proses sanitasi di tempat awam.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, inisiatif itu dijalankan oleh Pemuda PN Negeri yang menyasarkan rumah ibadat serta institusi pendidikan sebagai lokasi utama.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri memaklumkan, buat permulaan 24 masjid di enam Parlimen negeri ini sudah disanitasi pihaknya dan proses itu akan diteruskan dengan rumah ibadat lain, berserta sekolah, tadika serta taska di seluruh negeri.

MOHD Rafiq pada sidang media selepas melancarkan Skuad Disinfeksi Pemuda Perikatan Nasional Negeri Melaka di Masjid Cina, Krubong. Foto: MR. Azli

“Seramai 24 ahli skuad ini sudah kita gerakkan di setiap Parlimen untuk menjalankan sanitasi bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Pada masa sama, kita juga sedia menjalankan proses sanitasi di rumah rakyat yang memerlukan. Contohnya menjalankan sanitasi di rumah keluarga yang baru sahaja dijangkiti COVID-19.

“Inisiatif ini kita wujudkan untuk memastikan keselamatan dan nyawa rakyat terjamin, selain memastikan persekitaran di negeri ini selamat daripada ancaman COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melancarkan Skuad Disinfeksi Pemuda PN Melaka di Masjid Cina, di sini, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq percaya kerajaan masa kini pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan yang bertanggungjawab dalam melindungi nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat.

Katanya, walaupun keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak disenangi segelintir pihak, namun kerajaan PN tetap mengambil kira pendapat yang disuarakan rakyat.

“Kerajaan PN tidak membuat satu-satu keputusan berdasarkan populariti semata-mata. Walaupun keputusan yang dibuat mungkin tidak popular bagi segelintir rakyat, namun Perdana Menteri terpaksa melakukannya demi melindungi nyawa, kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Kerajaan telah cuba sedaya upaya dan bersungguh-sungguh membantu rakyat sepanjang berdepan pandemik COVID-19. Kerajaan perlu mengambil jalan tengah iaitu tidak menutup sepenuhnya ekonomi untuk mengelakkan rakyat menderita, dan pada masa sama tidak pula membuka ruang seluas-luasnya untuk wabak ini terus menular di negara kita,” katanya lagi.

Views:

477
Kongsi :
Previous post Hotel Hatten jual nasi bajet RM2
Next post Melaka tidak rancang laksana PKPD di Serkam
Ubah saiz-+=