Hotel Hatten jual nasi bajet RM2

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 7 Feb. – Bagi mempelbagaikan sumber pendapatannya, Hotel Hatten di sini, mengambil inisiatif untuk membuka gerai makanan di pekarangan hotel dengan harga yang sangat murah.

Dengan harga serendah RM2 untuk nasi bajet yang merangkumi set nasi putih bersama satu jenis sayur dan protein yang disediakan 12 chef hotel berkenaan, gerai tersebut mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, sejak ia dibuka pada jam 12 tengah hari, pelanggan, khususnya pekerja di sekitar Banda Hilir sudah mula beratur untuk membeli makanan.

Ketua Pegawai Operasi Restoran Hatten, Andy Phang Seng Kee (kanan) bersama chef mempromosikan hidangan makanan tambahan di pekarangan Hotel Hatten, Banda Hilir. Foto: MR. Azli

Menurut Ketua Pegawai Operasi bahagian Makanan dan Minuman Hotel Hatten, Andy Phang Seng Kee, inisiatif itu bermula sejak Jumaat lalu berikutan permintaan terhadap sektor hotel dan pelancongan ‘lumpuh’ sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Jelasnya, untuk tempoh sehari sahaja sejak dibuka bermula jam 12 tengah hari hingga 8 malam, lebih 300 bungkus makanan terjual.

“Selain menjadi sumber pendapatan untuk hotel, inisiatif yang kita jalankan ini juga adalah untuk membantu rakyat yang terkesan dan kehilangan pekerjaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Jadi kebanyakan yang datang untuk membeli makanan di sini adalah mereka yang terjejas pendapatan, selain ia turut menjadi pilihan pekerja sekitar Banda Hilir.

“Kesemua makanan yang kita sediakan adalah dimasak oleh chef dari hotel ini sendiri dan menariknya kita akan sentiasa mempelbagaikan menu pada setiap hari bagi memberi pilihan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Andy berkata, sepanjang tiga hari memulakan inisiatif berkenaan, seramai lebih 500 pelanggan telah hadir bagi merasai menu bertaraf hotel lima bintang yang disediakan dengan harga yang murah itu.

“Kita akan meneruskan inisiatif ini sepanjang PKP 2.0 dan jika ada keperluan untuk meneruskannya lagi selepas PKP 2.0 tamat, kita akan teruskan untuk membantu rakyat,” katanya.

Nurul Suhada Nor, 36. Foto: MR. Azli

Sementara itu, seorang pelanggan, Nurul Suhadaa Nor, 36 bagaikan tidak menyangka dapat membeli juadah disediakan chef hotel dengan harga yang sangat murah.

Dia yang juga seorang pembantu farmasi mengakui pendekatan tersebut dapat membantu orang ramai untuk berjimat sepanjang tempoh sukar ini.

“Saya dapat tahu dari kawan-kawan dan ini kali pertama saya membeli di sini. Memang terkejut apabila juadah nasi ikan dan satur berserta tambahan sambal tempe yang saya ambil hanya RM3 sahaja.

“Memang murah sangat memandangkan ia disediakan oleh chef hotel lima bintang. Secara tidak langsung ia jua membantu saya berjimat,” ujarnya.

Turut senada seorang lagi pelanggan dari Semabok, Rosnita Abu Talib, 55 yang dapat berjimat lebih banyak memandangkan dia mempunyai keluarga yang besar termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU).

“Semalam saya dah beli makanan di sini. Memang sedap dan tidak mengecewakan walaupun dibeli dengan harga RM2 sahaja.

“Untuk orang yang mempunyai keluarga besar seperti saya, harga berpatutan seperti ini memang sungguh menjimatkan,” katanya.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post The Jawi Peranakan: Early Popular Expressions of Malay Identity in the Archipelago
Next post PN Melaka lancar Skuad Disinfeksi cegah COVID-19
Ubah saiz-+=