
MELAKA TITANS SEDIA ‘GEGAU’ STL
TELOK MAS 6 Mei – Tiga tonggak ternama termasuk dua daripadanya merupakan pemain kebangsaan bakal memperkuatkan Melaka Titans dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1 yang akan membuka tirai 28 Mei ini.
Tiga tonggak itu adalah Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).
Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, kehadiran pemain ternama itu merupakan satu signal jelas bahawa Melaka Titans sedia menggegar arena sepak takraw negara dan kembali ke saingan kelompok elit di Divisyen Premier STL.
Menurutnya, selain pemain bertaraf dunia, skuad kendalian Khairul Anuar Ibrahim itu juga akan diperkuatkan dengan pemain pelapis anak jati Melaka yang cukup berpotensi untuk diketengahkan.
“Seperti kita sedia maklum, Azlan merupakan seorang ‘killer’ yang cukup kreatif dan sentiasa menggunakan akal untuk mematikan bola, ditambah pula dengan Syahir iaitu tekong kebangsaan yang tidak asing lagi dan Zaim yang sentiasa tenang di gelanggang.
“Kesemua mereka digandingkan juga dengan pemain Melaka dan saya percaya gabungan ini akan menjelmakan sesuatu untuk Negeri Melaka pada saingan kali ini.
“Jika kita berjaya, ia merupakan satu hadiah yang cukup istimewa untuk pemimpin dan rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga STL 2025 di Balai Raya Baruh Alai, di sini, yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi PASTAM, malam tadi.
Pada majlis itu juga, ketiga-tiga pemain berkenaan telah menandatangani perjanjian sehingga hujung tahun ini bagi memperkuatkan Melaka Titans dalam pelbagai kejohanan sepak takraw yang akan dianjurkan.
Menurut Akramuddin, meskipun berbelanja agak besar bagi saingan musim ini, namun ia disifatkan sebagai pelaburan cukup baik untuk masa depan takraw Negeri Melaka.
Ujar beliau, langkah itu juga berupaya mengangkat martabat sukan sepak takraw agar ia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sukan-sukan ternama lain.
“Di peringkat PASTAM, kita bukan mahu tunjuk hebat dengan membawa pemain-pemain ternama, tetapi niat kami hanyalah untuk mengangkat sukan ini bertaraf profesional seperti bola sepak dan lain-lain.
“Kami percaya, pemain bernama besar ini akan menjadi aset untuk kita melahirkan lebih ramai bintang-bintang baharu dari Melaka pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.