Melaka-UAE perkukuh kerjasama pelancongan, pelaburan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 22 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, menerima kunjung hormat daripada Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed AlDhaheri di pejabatnya, di sini.

Kunjung hormat itu turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Pada kunjungan itu, Ab Rauf dan Dr. Mubarak berkongsi idea dan perancangan mengenai beberapa perkara bagi memperkukuh kerjasama di antara UAE dan Kerajaan Negeri Melaka.

Antara yang disentuh ialah dalam bidang pelabuhan dan lapangan terbang memandangkan negara berkenaan terkenal dalam dua sektor terbabit.

Malah, Ab Rauf turut membuka peluang kerjasama pelaburan dengan negara berkenaan menerusi perancangan pembangunan koridor ekonomi baharu iaitu Straits Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang turut memberi tumpuan dalam bidang maritim dan pelabuhan.

Selain itu, Ketua Menteri berhasrat memperkukuh kerjasama pelancongan bersama UAE dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara Timur Tengah itu ke Negeri Melaka, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Dr. Mubarak dalam sesi kunjung hormat berkenaan turut menyatakan minat terhadap pembangunan Arab City di Pulau Melaka dan berhasrat untuk membuat lawatan susulan ke projek berkenaan.

Untuk rekod, pada tahun lalu, jumlah pelancong UAE ke Melaka yang direkodkan adalah seramai 763 orang.

Sempena TMM2024 tahun ini, ketibaan pelancong UAE ke Melaka dijangka meningkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post Perselisihan faham punca lelaki disimbah air panas
Next post Konflik Timur Tengah: Jemaah haji jangan bimbang, tumpu perhatian kepada ibadat – TH
Ubah saiz-+=