Melaka wujudkan ‘Relax Corner’, platform anak muda serlah potensi

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 1 Mac – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melancarkan program ‘Relax Corner’ bertujuan sebagai platform mengumpulkan belia dan anak muda untuk berinteraksi dan menyerlah potensi diri.

EXCO Belia dan Sukan Negeri V P Shanmugam berkata, program itu akan dilaksanakan secara mingguan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam di empat buah lokasi.

Jelasnya, antara lokasi yang dipilih ialah Leypark Station Dataran Sejarah Ayer Keroh; Kota Lokal Dataran Pahlawan Megamall Banda Hilir; Dataran Keris Alor Gajah dan Laman Budaya Jasin.

“Antara pengisian aktiviti sepanjang program tersebut ialah seperti ‘Street Showcase’ termasuklah ‘Flash Mob’, kaligrafi Street Art (lukisan), permainan tradisional, buskers atau nyayian dan persembahan seni wajadiri.

“Kita menyasarkan penyertaan seramai 60,000 anak muda terdiri daripada ahli pertubuhan belia, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah, dan masyarakat awam akan menerusi program yang diadakan selama setahun itu,” katanya.

SHANMUGAM (kiri) pada majlis pelancaran ‘Relax Corner’ di Leypark Station Dataran Ayer Keroh. Hadir sama, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Beliau berkata, objektif utama penganjuran ‘Relax Corner’ adalah melahirkan generasi muda yang mempunyai pemikiran progresif, berdaya maju dan mampu menjadi ejen pengubah agenda sosial, ekonomi dan kelestarian dalam kalangan masyarakat tempatan.

Selain itu, ujarnya, ia juga bagi merancakkan lagi proses pengembangan bakat dan potensi diri anak muda di Melaka.

“Pada masa sama, kita mahu membantu golongan belia menjalankan aktiviti pembangunan ekonomi kreatif, keusahawanan dan sukan melalui ruang dan kemudahan yang disediakan.

“Ia juga menepati perancangan Kerajaan Negeri Melaka dalam melaksanakan manifestasi dan agenda pemerkasaan golongan belia,” tambahnya.

Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, selain akan dipantau Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali selaku penasihat dalam jawatankuasa induk berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1585
Kongsi :
Previous post 69 Komando masih relevan dengan evolusi baharu
Next post PRN Johor: BN kemuka lima ikhtiar memakmurkan Johor
Ubah saiz-+=