Sorting by

×

Menabung demi Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ASAHAN 31 Ogos – Pasangan suami isteri masyarakat Orang Asli ini tidak berkira meskipun terpaksa mengeluarkan wang sendiri, kerana bagi mereka melihat kediaman berseri dihiasi Jalur Gemilang membawa makna yang amat besar.

Roslina Jagung, 40, wanita masyarakat Orang Asli, suku Temuan dari Kampung Gapam Baru berkata, sambutan tahun ini juga lebih meriah kerana tidak dibatasi prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

Katanya, biarpun ada menerima Jalur Gemilang percuma tetapi dia dan suami bersepakat mengumpul sedikit wang untuk membeli Jalur Gemilang tambahan.

“Nilainya tidaklah tinggi, kerana apa yang penting kami puas hati dapat hias rumah, menyemarakkan lagi semangat patriotik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi penduduk yang lain.

“Kami pasang sekadar yang mampu sebagai tanda sayang dan cinta kepada negara selain penghargaan kepada pahlawan tanah air yang berjuang untuk Kemerdekaan negara,” katanya.

Ibu kepada seorang anak berusia 11 tahun itu ditemui selepas Program Santuni Orang Kita Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka Dan WI Cawangan Ayer Molek, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk masyarakat Orang Asli Lelawati Mawar, 25, berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini kembali meriah malah suasana itu mula dirasai sejak awal Ogos apabila Jalur Gemilang mula dipasang sekitar kampung.

“Kami di rumah ada memasang Jalur Gemilang, bagi kami ini sebagai tanda semangat patriotik dan cinta negara.

“Sambutan hari ini juga turut meriah apabila kami dikunjungi pihak luar untuk menyambut Hari Kebangsaan, gembira rasanya dapat berkumpul ramai-ramai nyanyikan lagu patriotik,” katanya.

WhatsApp Image 2022-08-31 at 3.05.51 PM
TOK Batin Kampung Orang Asli Gapam Baru, Seli Tengga.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Gapam Baru, Seli Tengga berkata, dia mewakili penduduk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang terbabit kerana sudi bersama-sama penduduk meraikan sambutan Merdeka bersama mereka.

“Menerusi program sebegini semangat Kemerdekaan dan patriotik dapat dipupuk bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa malah kanak-kanak,” katanya.

.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post Anak merdeka pelapis masa hadapan – KM
Next post Manfaatkan SisPAA – Dr Muhamad Akmal
Ubah saiz-+=