Menara azan, bumbung masjid warisan 169 tahun rosak dipanah petir

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 21 Jun – Menara azan Masjid Serkam Pantai yang berusia 169 tahun mengalami kerosakan selepas disambar petir dalam kejadian awal pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.45 pagi itu turut mengakibatkan beberapa bahagian bumbung masjid warisan itu mengalami kerosakan akibat terkena serpihan batu menara.

Timbalan Pengerusi Masjid Serkam Pantai Zakaria Abu Bakar berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira 30 jemaah sedang bersiap sedia untuk pulang selepas selesai solat subuh.

“Selepas selesai solat ada jemaah yang beransur untuk pulang dan tiba-tiba sahaja terdengar bunyi petir sebelum bekalan elektrik terputus lalu keadaan di dalam masjid bertukar gelap.

“Kami ketika itu berada di ruangan luar menunggu, dalam keadaan gelap saya bersama beberapa jemaah ke ruangan solat utama dan melihat terdapat serpihan batu serta air mula menitik masuk ke dalam masjid,” katanya ketika ditemui.

SEBAHAGIAN serpihan bumbung yang pecah.

Menurutnya, akibat daripada kejadian itu juga sebuah kenderaan milik jemaah masjid turut mengalami kerosakan apabila serpihan batu terkena pada bahagian cermin.

“Meskipun begitu saya amat bersyukur kerana tiada jemaah yang tercedera. Kalaulah ketika itu masih ada jemaah di ruangan solat utama mungkin akan berlaku kemalangan jiwa.

“Bayangkan serpihan batu itu dianggarkan kira-kira dua kilogram. Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, kerosakan puncak menara dan bumbung itu perlu dilihat dan dipantau Jabatan Warisan dan PERZIM memandangkan masjid itu adalah masjid warisan.

“Buat masa ini kita tidak dapat untuk lakukan tindakan lanjut kerana perlu menunggu nasihat agensi yang terbabit namun begitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah datang menjalankan pemeriksaan.

“Buat masa ini bekalan elektrik masih terputus selain masjid berharap agar cuaca tidak hujan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1874
Kongsi :
Previous post WWF cadang ‘tutup’ Pantai Padang Kemunting waktu malam
Next post 13 ahli sindiket pinjaman tidak wujud ditahan
Ubah saiz-+=