Sorting by

×

WWF cadang ‘tutup’ Pantai Padang Kemunting waktu malam

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Jun – Pantai Padang Kemunting, di sini harus segera diwartakan sebagai kawasan santuari penyu karah bagi membantu usaha memulihara haiwan marin itu daripada pupus.

Pengurus Konservasi Penyu Semenanjung World Wildlife Fund-Malaysia (WWF-Malaysia), Lau Min Min merayu agar langkah itu mendapat perhatian kerajaan negeri demi kelangsungan penghidupan penyu berkenaan.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelakkan penyu yang sering naik ke pantai berkenaan untuk bertelur pupus akibat kegiatan mengambil telur penyu oleh pihak tidak bertanggungjawab, selain memastikan penyu karah tetap memilih pantai berkenaan sebagai lokasi untuk bertelur.

Jelasnya, dengan pewartaan itu pelancong hanya dibenarkan berkelah di pantai berkenaan pada waktu siang dan tiada sesiapa dibenarkan berada di pantai itu pada waktu malam bagi memastikan penyu bebas naik dari laut untuk bertelur.

“Industri pelancongan tidak akan terjejas dengan pewartaan itu kerana mereka masih boleh mengunjunginya pada waktu siang,” katanya di sini hari ini.

LAU Min Min

Selain itu, WWF-Malaysia juga merayu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menukar lampu jalan sedia ada kepada lampu jalan mesra penyu.

Katanya, lampu berkenaan membabitkan kos yang tinggi kerana perlu diimport berikutan ketiadaan syarikat tempatan yang mengeluarkannya.

“Lampu itu perlu dipasang kerana lampu konvensional sedia ada milik MPAG terlalu terang dan menakutkan penyu naik ke darat untuk bertelur,” katanya.

Min Min berkata, langkah itu juga sejajar usaha menjadikan Pantai Padang Kemunting sebagai Kampung Mesra Penyu kerana kawasan itu adalah satu daripada lokasi pendaratan utama penyu karah.

Katanya, purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Padang Kemunting yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu amat membantu usaha mengekalkan penyu karah.

Beliau berkata, Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menjadikannya menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini.

PETUGAS di PKPP Padang Kemunting menanam telur penyu di PKPP, Padang Kemunting, Tanjung Bidara.

Kedua-dua cadangan itu, katanya, bertujuan memastikan penyu karah tidak pupus berikutan amaran Senarai Merah oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang berpangkalan di Switzerland yang menyenaraikan penyu berkenaan sebagai haiwan marin yang bakal pupus jika tiada usaha memuliharanya.

Selain pantai Padang Kemunting, pantai lain di negeri ini yang mencatatkan jumlah sarang penyu karah tinggi ialah Kem Terendak di Sungai Udang dan Tanjung Dahan, Tanjung Serai serta Meriam Patah di Kuala Sungai Baru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1685
Kongsi :
Previous post MBMB terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan
Next post Menara azan, bumbung masjid warisan 169 tahun rosak dipanah petir
Ubah saiz-+=