Menara Taming Sari kembali beroperasi esok

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 30 Sept – Selepas hampir 14 bulan ditutup, produk pelancongan ikonik Melaka, Menara Taming Sari akan kembali beroperasi esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Bhd, Azlan Abidin berkata, sempena pembukaan itu juga, pihaknya menawarkan pelbagai promosi menarik.

Menurutnya, ia termasuklah 10 kemasukan percuma kepada pelanggan terawal bermula esok menaiki menara berputar setinggi 110 meter itu.

“Selain itu, semua pelanggan juga akan diberikan harga istimewa promosi iaitu RM12 untuk dewasa dan RM8 bagi kanak-kanak selama tiga hari sehingga 3 Oktober ini.

“Malah, semua pelanggan kami juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan sebuah televisyen 70 inchi selain dua buah basikal ‘mountain bike’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, Menara Taming Sari menggunakan teknologi buatan Switzerland itu ditutup sejak 9 Julai tahun lalu, tidak sampai sebulan selepas ia kembali dibuka kepada orang ramai selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Penutupan menara berputar yang telah memasuki 13 pengoperasiannya itu bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf untuk memastikan perkhidmatan yg efisien dapat diteruskan di masa akan datang.

Ia juga sebagai langkah kawalan pergerakan oleh pihak kerajaan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menara berkenaan mampu menampung 66 orang pengunjung dalam satu-satu masa yang akan menyaksikan panorama indah Melaka pada ketinggian 80 meter melalui atas pelantar pemandangan yang berputar 360 darjah selama kira-kira tujuh minit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1754
Kongsi :
Previous post Pengusaha inap desa sedia terima tempahan
Next post Lebih 20 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam
Ubah saiz-+=