Mendiang Ewe bimbang keselamatan selepas dedah kes rasuah Lim

Masa Membaca:3 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB) Datuk Ewe Swee Kheng, meluahkan rasa kebimbangan akan keselamatannya selepas membuat pendedahan berkaitan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Nazree Mansor, 32, berkata demikian ketika membacakan rakaman percakapan Ewe yang diambilnya di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 14 Ogos 2021.

Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Okt 2021.

Muhammad Nazree, yang juga saksi pendakwaan ke-15, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan berkata, Ewe memaklumkan sekiranya terdapat pihak yang mengetahui beliau membuat pendedahan itu, beliau bimbang ia akan memberikan implikasi yang buruk kepadanya.

Menurut saksi itu, rakaman percakapan Ewe menyatakan, “Saya berasa sedikit bimbang dengan keselamatan saya selepas membuat pengakuan ini. Tetapi saya akan berjaga-jaga selepas ini.”

Pegawai perakam itu berkata, mendiang turut menyatakan semasa pihak SPRM memulakan penyiasatan berhubung isu projek pembinaan jalan dan terowong, Parti Pakatan Harapan memegang pemerintahan di negara ini.

“YB LGE juga terlepas dari kes mahkamah berkaitan dengan skandal banglo yang dihadapinya yang mana saya (Ewe) tahu YB LGE adalah ‘untouchable’ pada masa itu,” kata saksi berkenaan yang membacakan rakaman percakapan mendiang.

Tambah Muhammad Nazree, mendiang juga menyatakan beliau ada mendengar banyak cerita bahawa Lim ada menerima wang daripada syarikat kontraktor, dan beliau perlu menceritakan perkara sebenar kerana jika dirahsiakan hal itu, tiba masa ianya akan terbongkar dan menjejaskan perniagaannya.

Menurut saksi itu, Ewe juga menyatakan beliau tidak pernah dipaksa untuk memberi pernyataan itu, dan apa yang diceritakan kepada pihak SPRM adalah perkara yang sebenar, selain memaklumkan pertambahan pernyataan percakapan itu dibuat berkaitan perjumpaan dan pertolongan Lim kepadanya.

Rakaman percakapan mendiang telah diambil oleh SPRM sebanyak enam kali termasuk rakaman percakapan terakhir pada 14 Ogos 2021.

Selain itu, Muhammad Nazree berkata, Ewe menerusi rakaman percakapannya menyatakan bahawa Lim ada berjumpa dengannya dan memaklumkan, beliau sudah ada satu projek yang boleh menolongnya iaitu projek terowong di Pulau Pinang, yang mana ia adalah projek kerajaan negeri.

“Beliau (Lim) juga beritahu saya projek itu akan diberikan kepada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. YB LGE menyuruh saya untuk berjumpa dengan wakil CZBUCG iaitu Datuk Zarul untuk ‘deal’, bagi penjualan tanah kepada syarikat saya (EZCB).

“YB LGE juga beritahu saya jika ‘deal’ saya dengan Datuk Zarul berjaya, saya boleh ‘control’ duit kerana syarikat itu tidak ‘power’. Saya juga ada meminta bantuan dengan YB LGE dalam penamaan syarikat EZCB sebagai pemilik tanah Lot 702, yang telah diberikan kepada CZBUCG daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Berkaitan dengan projek lebuh raya dan terowong, saya memang berminat untuk memajukan tanah Lot 702 itu. Pada masa itu, saya mengenali Datuk Zarul melalui media yang dikenali sebagai ‘6 Billion Dollar Man’,” menurut rakaman percakapan Ewe itu.

Sementara itu, Muhammad Nazree tidak bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim bahawa mendiang Ewe tidak memberi keterangan secara sukarela ketika rakaman percakapannya diambil pada 14 Ogos 2021, dan disebabkan itu ia bertentangan dengan keterangan lain.

Disoal peguam itu berhubung kematian Ewe sebelum saksi itu dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim, Muhammad Nazree berkata beliau hanya mengetahui mengenai kematian Ewe dari laporan media dan tahu siasatan telah dilakukan oleh pihak polis.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

811
Kongsi :
Previous post Lebih 13,000 guru pengambilan ‘one-off’ berjaya mendapat penempatan – Radzi Jidin
Next post Polis sahkan terima laporan kematian lelaki dalam lokap IPD Seberang Perai Selatan
Ubah saiz-+=