Mengaku tak bersalah sebabkan kematian kawan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 27 Nov. – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian rakannya dalam kejadian awal November.

Tertuduh, Rashidee Abd Razak, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 33 tahun dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ke atas bekas isterinya yang berusia 26 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Hospital Melaka, kira-kira jam 6.45 petang pada 10 November 2020.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun terpulang kepada budi bicara mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Long Meng Si, merayu kepada mahkamah agar jaminan dan hukuman yang rendah dikenakan kepada tertuduh kerana dia kini menanggung ibunya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah, turut menetapkan 31 Disember depan tarikh sebutan semula kes berserta fakta dan hukuman bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Views:

607
Kongsi :
Previous post MBMB sita 100 kenderaan terbiar
Next post MPHTJ rangka taktik tarik pelancong ke Ayer Keroh
Ubah saiz-+=