Menteri, Timbalan bekerja tanpa gaji tiga bulan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PUTRAJAYA 31 Mei – Jemaah menteri telah bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun ini sebagai tanda sokongan dan prihatin kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

“Sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan Menteri dan Timbalan Menteri dengan tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun 2021.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19,” katanya dalam ucapan penutup Perutusan Khas Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Katanya, inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha kerajaan menerusi pakej rangsangan PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion yang diumumkan hari ini yang mana ia bertujuan demi meneruskan agenda prihatin rakyat dan meneruskan komitmen mengurus krisis yang melanda kini.

“Kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah, saya ulangi, ‘stay at home’ dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.

“Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera
berakhir,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post PEMERKASA tambahan bantu rakyat harungi PKP yang lebih ketat- PM
Next post PEMERKASA+: RM500 kepada pemandu teksi, bas, pemandu pelancong, e-hailing
Ubah saiz-+=