PEMERKASA+: RM500 kepada pemandu teksi, bas, pemandu pelancong, e-hailing

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA 31 Mei – Perdana Menteri  mengumumkan bantuan khas berjumlah RM68 juta menerusi pakej rangsangan tambahan PEMERKASA+ yang akan diagihkan kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan persiaran serta pemandu kereta sewa dan e-hailing yang berdaftar di negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan secara ‘one-off’ (sekali bayar) berjumlah RM500 kepada golongan terbabit akan dibayar pada Julai depan.

“Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 ini akan memanfaatkan 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 pemandu bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.

“Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri: Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengumumkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas, antaranya pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Katanya, menerusi bantuan itu, sektor yang layak itu akan menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara bulan Julai hingga September depan.

“Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.

“Selain itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post Menteri, Timbalan bekerja tanpa gaji tiga bulan
Next post Kluster Tapak Bina Klebang terbaharu
Ubah saiz-+=