
MEREMAJAKAN MENARA TAMING SARI
BANDA HILIR 7 Mei – Berbekalkan semangat untuk terus berkembang warga kerja Menara Taming Sari (MTS) akan mengoptimumkan daya kreativiti dan inovasi mereka bagi meremajakan ikon pelancongan utama Negeri Melaka itu yang kini sudah mencapai usia 17 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, bukan sekadar untuk terus kekal dinamik dan kompetitif, proses peremajaan itu juga perlu kerana MTS adalah antara ikon Negeri Melaka yang bakal menjadi tumpuan sepanjang berlangsungnya Hari Pelacongan Sedunia 2025 (WTD 2025) September nanti.
Sementara itu melihat daripada sudut pandangan lebih luas Nur Azan berkata, inisiatif Tahun Melawat Melaka yang diteruskan oleh Kerajaan Negeri dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bukan satu bebanan kepada warga kerja MTSB, sebalik peluang berharga yang perlu dimanfaatkan untuk mempromosikan MTS kepada dunia.
“Sehubungan itu perlu ada perubahan melibatkan produk kami, sebenarnya MTS adalah satu lokasi tumpuan yang strategik kerana dikelilingi pelbagai lagi tarikan lain yang melengkapkan menara ikonik ini seperti gerai menjual cendol, cenderamata dan kraftangan.
“Saya percaya atas semangat untuk terus berkembang, perancangan yang teliti dan komitmen semua warga kerja, MTS akan menjadi ikon lebih besar pada masa yang akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut Nur Azan berkata, pengurusan MTSB juga mempunyai pelan peancangan jangka panjang bagi memastikan menara ikonik itu terus berdaya maju bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Menurutnya, selain komitmen warga kerja, pihaknya amat menghargai sokongan daripada pengunjung dan pelancong yang singgah ke menara ikonik itu bagi menyaksikan panorama menarik sekitar Banda Hilir dan Selat Melaka.
“Terima kasih kepada semua pengunjung yang sudah singgah ke MTS sejak dibuka pada 2008 hingga sekarang, nantikan pengumuman produk baharu kami dari semasa ke semasa. Kami akan berikan perkhidmatan terbaik kepada semua, Insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.