MISDEC sedia tapak untuk tenaga kerja mahir industri halal ke Australia

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELBOURNE 7 September – Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) dijangka menyediakan penempatan pekerjaan untuk 200 tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal untuk dilatih dan dihantar ke Australia.

Ia merupakan kerjasama di antara MISDEC bersama Halal Development Corporation Bhd (HDC), melalui Program Perantis Halal (HAP) dan Halal Technical Expert (HTEX).

Pengerusi MISDEC Don Mardzi Ahmad Shamsuddin berkata, Australia menerusi Majlis Penyelarasan Islam Victoria (ICCV) memerlukan 150 hingga 200 tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal dalam dua bidang khusus, iaitu penyembelihan dan teknologi makanan.

“Kami mengadakan beberapa perbincangan dengan ICCV semasa Litar Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2022 (WHBCC) di Melbourne dan melalui pertemuan itu, ICCV telah menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan MISDEC bagi tenaga kerja profesional dan mahir dalam industri halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Don Mardzi berkata, ICCV merupakan badan pensijilan halal terbesar Australia dan satu-satunya pihak berkuasa yang diiktiraf sepenuhnya oleh Jabatan Pertanian dan Perikanan Australia untuk dieksport ke semua negara pengimport halal.

Ujarnya, ICCV akan melawat MISDEC untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai kerjasama itu.

Katanya lagi, minat ICCV itu jelas menunjukkan bahawa industri halal Malaysia, termasuk tenaga kerjanya yang profesional dan mahir mampu berkembang di peringkat global.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MISDEC, Haiqal Syukri Jantan dan Ketua Unit School Of Halal (SOH) Daing Fadzil yang bersama menghadiri Persidangan WHBCC itu turut berpendapat kerjasama itu akan memberi impak yang besar terutamanya pada anak Melaka untuk menyertai program yang disediakan.

Untuk rekod, HAP dan HTEX ialah program pembangunan latihan yang bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja dalam industri makanan dan minuman, farmaseutikal, teknologi makanan dan berkaitan halal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3307
Kongsi :
Previous post SMK Rahmat didik pelajar celik masa depan, jauhi dadah
Next post Hari Malaysia: MBMB sedia parkir mencukupi buat pengunjung
Ubah saiz-+=