Misi bantuan pasca banjir Melaka Sabtu ini terima sumbangan RM55,000

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 14 Jan. – Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Negeri Pahang Sabtu ini menerima sumbangan barangan makanan dan keperluan asas bernilai RM55,000 setakat hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, sumbangan berupa barangan makanan, kepeluan asas dan pakaian itu disumbang pelbagai pihak.

“Setakat hari ini pelbagai bantuan diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan jabatan kerajaan sendiri.

“Kita terima sumbangan bernilai hampir RM55,000 berbentuk barang makanan, keperluan asas, lampin, tuala dan sebagainya.

“Insya-Allah bantuan ini akan kami sampaikan kepada mangsa banjir di Pahang Sabtu ini dan pelepasan jam 8 pagi dari Seri Bendahara dijadual disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali,” katanya kepada MHI di Melaka Mall, hari ini.

Katanya, misi pasca banjir adalah hasrat kerajaan negeri dan MPHTJ selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengetuai misi.

“Semua jabatan kerajaan, NGO dan syarikat swasta yang berminat untuk membantu misi ini boleh hubungi MPHTJ,” katanya.

KERJA-kerja mengangkat barang makanan yang disumbangkan Mamee-Double Decker (M) Bhd.

Shadan berkata, bagaimanapun misi pasca banjir kali ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Sebelum ini hasrat kerajaan negeri nak bantu bersihkan rumah-rumah di kawasan tersebut.

“Tetapi memandangkan PKP 2.0, kehadiran kali ini hanya menghantar bantuan seperti barangan makanan dan keperluan asas yang lain.

“Kita akan hantar di kawasan Maran, di situ nanti jawatankuasa bencana banjir Pahang yang akan uruskan,” katanya lagi.

MPHTJ yang akan mengetuai Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Negeri Pahang Sabtu ini turut menyaksikan tiga lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Turut sama adalah pelbagai agensi kerajaan lain antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, polis, bomba, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Hospital Pakar Putra (PSH).

Views:

590
Kongsi :
Previous post ‘Cayalah’ orang Melaka
Next post Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran MGBM kali ke-41 ditunda.
Ubah saiz-+=