Misi Zahari majukan pekan ‘koboi’

Masa Membaca:3 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 September – Dahulunya pernah dikenali sebagai pekan ‘koboi’, kini Durian Tunggal telah berubah wajah kepada kawasan yang semakin pesat membangun.

Terletak di Daerah Alor Gajah, kawasan itu sedang bertransformasi menjadi pekan baharu dengan pelbagai projek perumahan dan prasarana untuk rakyat mula dibangunkan.

Biarpun seringkali menjadi kawasan yang kerap dilanda banjir di negeri ini, namun usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil untuk memajukan serta menambahbaik infrastruktur di kawasan itu tidak pernah putus.

Menurutnya, fokus utama beliau adalah memastikan segala permasalahan melibatkan kebersihan, banjir, pembangunan, pendidikan, kesejahteraan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan dengan segera.

KOLAM TAKUNGAN ATASI BANJIR

Bagi perancangan jangka pendek menangani masalah banjir di DUN Durian Tunggal, Zahari mencadangkan supaya dua kolam takungan air dibina di Padang Keladi dan Bukit Tambun.

3
CAKNA dengan isu yang dibangkitkan penduduk.

Katanya, dua kolam takungan itu dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat apabila hujan lebat berterusan di dua kawasan berkenaan.

“Pertama untuk perancangan tebatan banjir kerajaan dah meluluskan kira-kira RM600 juta bagi DUN ini dan ia merupakan salah satu manifesto saya memandangkan kawasan ini memang kerap berlaku banjir.

“Bagaimanapun proses untuk membuat tebatan banjir ini mengambil masa lima ke enam tahun, justeru untuk jangka pendek saya cadang untuk membuat kolam takungan air di Padang Keladi dan Bukit Tambun kawasan yang kerap dilanda banjir.

“Durian Tunggal akan berlaku banjir besar disebabkan air pasang, sebab itu saya sekarang bila hujan lebat dua ke tiga jam kita akan hubungi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk buka empangan di Gangsa,” katanya.

SEKOLAH BAHARU

Menurut Zahari pertambahan penduduk serta taman perumahan baharu menjadikan pelajar di sekolah menengah sedia ada juga semakin bertambah sehingga menyebabkan kepadatan di sekolah yang ada.

4
MENYANTUNI pelajar SK Gangsa.

Justeru, beliau meminta supaya sebuah sekolah menengah baharu berhadapan Taman Harmoni Durian Tunggal dibina dalam masa terdekat berkeluasan 16.19 hektar.

“Pengambilan tanah telah dilaksanakan cuma saya usahakan untuk pembangunan sahaja, saya tengok sekolah menengah di DUN ini hanya ada satu dan sekolah rendah ada enam buah.

“Penduduk di sini pula semakin padat dengan taman perumahan baharu yang semakin rancak dibina, ada guru yang mengadu murid terlalu ramai sehingga tidak cukup kelas untuk sesi pembelajaran.

“Saya dah berjumpa dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memang betul tanah itu dah ada untuk pembinaan sekolah, keluasan lebih kurang 40 ekar di berhadapan Taman Harmoni, buat masa ini tapak itu ada tanaman kelapa sawit,” katanya.

JALAN BAHARU ELAK KESESAKAN

Selain itu, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pekan Durian Tunggal, sebuah jajaran jalan raya baharu sepanjang dua kilometer sedang dibina khusus bagi penduduk di DUN tersebut.

Jelas Zahari, jalan baharu itu bakal siap sepenuhnya pada Februari atau Mac 2023 melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal sehingga ke Padang Keladi.

“Jalan baharu ini kita buat untuk kurangkan kesesakan pada waktu puncak terutamanya pada waktu pagi dan petang sewaktu orang ramai balik kerja.

“Sekarang kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dan insya-Allah akan siap awal 2023 dan setelah siap ia dapat membantu penduduk di sini.

“Saya juga akan berbincang dgn pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membuat jalan sehala untuk mengurangkan kesesakan di pekan Durian Tunggal, jadi pihak JKR perlu mengkaji dahulu sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Zahari turut meminta supaya Pekan Pantai Belimbing dinaik taraf dengan meletakkan lampu isyarat baharu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kenderaan yang lalu lalang di kawasan ini terlalu banyak sehingga menyebabkan kesesakan, jadi perlu ditambah lampu isyarat untuk mengurangkan masalah tersebut selain memperbesarkan jalan raya sedia ada,” katanya lagi.

2
ZAHARi ketika menghadiri Konvoi Semarak Bulan Kebangsaan DUN Durian Tunggal di Kampung Padang Kerbau.

BIODATA

Nama: Zahari Abd Kalil
Umur: 49

Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggan (2021-kini)
– Pemilik dan Pengurus Besar Syarikat Beringin Megah Enterprise

Politik:-
– Ketua UMNO Bahagian Beringin
– Bendahari UMNO Bahagian Alor Gajah

INFO DUN DURIAN TUNGGAL

Jumlah penduduk : 20,000

Kampung : 13
Taman Perumahan : 24

Rumah Ibadat:-
Masjid: 6
Surau: 13
Tokong: 3
Kuil: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 6
Sekolah Menengah: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1
Sekolah Rendah Agama JAIM: 5

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2840
Kongsi :
Previous post Sukma: Saingan angkat berat ditunda esok
Next post Atuk 70 tahun teruja ikuti peperiksaan al-Quran
Ubah saiz-+=