Mohon bina balai polis baharu di DUN Paya Rumput

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PAYA RUMPUT 22 Januari – Sebuah balai polis baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput perlu dibina berdasarkan aspek kepadatan penduduk kini mencapai 91,300 orang dan pembangunan sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, Balai Polis Tanjung Minyak adalah satu-satunya yang terletak di DUN itu dengan kekuatan pasukan seramai kira-kira 13 pegawai termasuk anggota.

Menurutnya, justeru itu pihaknya memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar dipertimbangkan pembinaan sebuah lagi balai polis dalam kawasan DUN Paya Rumput.

“Dengan mempunyai jumlah penduduk seramai 91,300 dan menjadi DUN terbesar di Melaka, hampir seperti sebuah parlimen tetapi hanya ada sebuah balai polis sahaja iaitu Balai Polis Tanjung Minyak bukan sahaja kecil malah dalam keadaan sudah uzur.

“Saya amat berharap rintihan kami di DUN Paya Rumput dapat didengar oleh pihak kerajaan dan PDRM malah saya amat berharap supaya dapat disegerakan memandangkan balai polis sedia ada bukanlah dalam keadaan mencukupi.

“Sebagai Adun kawasan sudah berkali-kali saya suarakan dan berusaha untuk menambah satu lagi balai polis termasuk juga kemukakan permohonan kepada pihak yang sepatutnya,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata demikian ketika pada sidang media selepas merasmikan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh, di Tanjung Minyak, semalam.

Menurutnya, meskipun indeks jenayah di kawasan DUN Paya Rumput tidak perlu diperkatakan tetapi dengan mempunyai tujuh kampung tradisi dan 24 taman perumahan, itu membuatkan menjadi keperluan mendesak.

“Saya harap perkara ini diberikan perhatian serius dan dengan adanya sebuah lagi balai polis ia akan memberi kemudahan dan kesenangan kepada penduduk setempat.

“Saya mengerti mungkin ada justifikasi tertentu (pembinaan balai polis) tetapi saya mohon supaya (permintaan) dikaji dengan mengambil kira jumlah kepadatan penduduk seramai 91,300 dan kekuatan polis yang sedia ada di Balai Polis Tanjung Minyak pada waktu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

890
Kongsi :
Previous post Tapak ‘premium’ untuk peniaga – Rais
Next post 188 unit rumah kluster dua tingkat bermula RM340,000
Ubah saiz-+=