Mohon i-Citra bayar tunggakan sewa rumah

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Julai – “Alhamdulillah, saya dah mohon pengeluaran KWSP i-Citra untuk melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama lapan bulan”.

Itu luahan ibu enam anak, Nurul Asikin Ismail, 43, yang mengharapkan permohonan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra yang mula dibuka hari ini diluluskan demi menampung kehidupan.

“Selain melangsaikan lapan bulan tunggakan sewa rumah berjumlah RM3,500, bakinya dapatlah tanggung serba sedikit untuk bayar bayar bil utiliti dan beli barang keperluan asas.

“Sebelum ini pun saya pernah memohon i-Sinar tetapi ia digunakan untuk membeli barang keperluan pembelajaran anak-anak,” katanya gembira.

Nurul Asikin Ismail

Seorang lagi pencarum KWSP, Muhammad Zulfahmy Lukman, 31, turut bersyukur selepas kerajaan membenarkan pencarum untuk membuat pengeluaran simpanan menerusi i-Citra.

“Dalam waktu pandemik COVID-19 ni memang saya memerlukan wang untuk teruskan kehidupan, jika dapat keluarkan, separuh daripada duit itu saya akan simpan dahulu.

“Selebihnya saya akan gunakan untuk bayar hutang yang tertunggak. Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini semua rakyat memang terjejas pendapatan,” katanya.

Muhammad Zulfahmy Lukman

Manakala Mohamad Syahrul Nizam Mohd Amam, 22, turut berkongsi pandangan sama untuk menggunakan wang itu bagi keperluan harian berbanding kemahuan.

“Saya pun bukan berasal dari keluarga yang senang, ibu dan bapa bekerja biasa dan empat adik-adik saya masih kecil.

“Saya harap wang ini dapat membantu ibu dan bapa dahulu, kalau ada lebihan barulah saya simpan untuk keperluan di masa depan.

Mohamad Syahrul Nizam Mohd Amam

Untuk rekod pencarum KWSP berusia 55 tahun ke bawah boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra mulai hari ini, tiga hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan sebelum ini.

i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

Pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula dari bulan Ogos 2021

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Ia sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan icitra.kwsp.gov.my dan ahli boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP, laman web di www.kwsp.gov.my, atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

628
Kongsi :
Previous post Zii Jia lebih tangkas berbanding Cheng Long- Chong Wei
Next post Pindah pekerja kuarantin dari Kawasan Perindustrian Ayer Keroh
Ubah saiz-+=