Pindah pekerja kuarantin dari Kawasan Perindustrian Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BATU BERENDAM 12 Julai – Kerajaan negeri bersedia memindahkan pekerja industri yang menjalani kuarantin di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh ke lokasi baru.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu akan putuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 negeri yang akan bersidang esok.

“Apa-apa kita akan putuskan dalam mesyuarat COVID-19, perancangan (untuk pindahkan) itu ada,” katanya.

SULAIMAN… pemindahan pekerja dikuarantin akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 negeri esok.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Texas Instrument Electronic Sdn Bhd (TIEM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, setakat ini pekerja industri di kawasan itu masih belum dipindahkan.

Katanya, antara lokasi penempatan dipertimbangkan termasuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

SULAIMAN ketika Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Infineon Technologies (M) Sdn Bhd.

“Sudah ada tempatnya…jadi pihak syarikat perlu memindahkan ke kawasan yang lebih selesa.

“Kita ada tempat di MITC menerusi usahasama di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, yang boleh menempatkan 1,400 orang pekerja. Ia sudah siap, cuma (menunggu) kita hendak pindahkan.

“Tetapi dengan syarat terutama majikan perlu membenarkan pemindahan itu,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 897 kes aktif melibatkan tiga kluster di Ayer Keroh iaitu Kluster Industri Ayer Keroh, Kluster Jalan Usaha Tujuh dan Kluster Industri Usaha Dua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Mohon i-Citra bayar tunggakan sewa rumah
Next post Nafi KKM gagal beri perhatian kes COVID di Kampung Portugis
Ubah saiz-+=