Moratorium: ‘Kenapa pilih-pilih golongan yang layak?’ – Rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 1 Jun – Pengumuman kerajaan untuk meneruskan program bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium kepada golongan terjejas sepanjang sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ 1 hingga 14 Jun ini menerima reaksi yang pelbagai daripada rakyat.

Ada yang meluahkan rasa syukur dengan pemberian itu, namun tidak kurang ada juga yang kecewa kerana bantuan berkenaan disifatkan tidak begitu menyeluruh.

Bagi seorang pekerja swasta, Nor Farhana Hamzah, 36, bantuan tersebut tidak sewajarnya diberikan kepada golongan tertentu sahaja.

Sebaliknya, dia menyifatkan bantuan seperti itu lebih wajar diberikan kepada semua golongan tanpa menetapkan syarat golongan tertentu kerana semua golongan terjejas dengan pelaksanaan ‘lockdown’ di seluruh negara.

Katanya, sebagai individu yang tergolong dalam golongan M-40, dia sejujurnya kecewa kerana tiada sebarang bentuk bantuan diberikan kerajaan kepada golongan sepertinya, sedangkan mereka turut sama terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Sepatutnya tidak boleh pilih-pilih. Ia perlu diberikan kepada semua sebab ekonomi kita dinamik. Jika satu bahagian ekonomi terjejas, yang lain juga akan terkesan.

“Mungkin dari sudut individu, ia baik, tetapi secara keseluruhan tidak kerana tidak kiralah B-40, M-40 atau T-20 semua terkesan dengan pandemik ini.

“Semua juga mahu ‘survive’ dalam keadaan sekarang, jadi golongan yang berada lebih atas mungkin akan berkira-kira untuk berbelanja dan membantu golongan yang berada lebih rendah. Jadi, bagaimana ia dapat membantu ekonomi secara keseluruhan?,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MOHD Amin

Sementara itu, bagi seorang peniaga, Mohd Amin Mustafa, 56, bantuan moratorium itu disifatkan tiba tepat pada masanya memandangkan rakyat khususnya golongan B-40 kini sedang bergelut dengan pendapatan tidak menentu.

Katanya, walaupun pemberian itu hanya bertahan untuk tiga bulan, namun bagi golongan sepertinya itu sudah cukup untuk memberi rakyat ‘bernafas’ seketika setelah lebih setahun berperang dengan COVID-19.

Dia bagaimanapun, meminta semua rakyat memanfaatkan bantuan yang diberikan sebaiknya dan bukannya dengan berbelanja secara semberono.

“Seeloknya, wang yang sepatutnya untuk membayar pinjaman itu, kita gunakanlah untuk tujuan lebih baik, sama ada modal pusingan untuk berniaga ataupun bantuan untuk menyara keluarga dalam tempoh-tempoh sukar ini.

“Kita kena ingat, bantuan seperti ini bukannya selalu kita dapat, jadi, gunakanlah sebaiknya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan pakej rangsangan khas, PEMERKASA+ berjumlah RM40 bilion yang turut menyentuh lanjutan moratorium kepada semua golongan B-40 dan rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh ‘lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun.

Melalui moratorium itu, kira-kira lima juta rakyat boleh memilih sama ada mahu mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan, bermula bulan ini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post ‘Suara saya tidak semerdu Sharifah Aini’
Next post Bukit Aman umum pertukaran 61 pegawai kanan termasuk tujuh pengarah jabatan
Ubah saiz-+=