MPHTJ lakar sejarah, terima Anugerah Penghargaan Bandar Mampan 2021

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 Nov – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melakar sejarah apabila menerima Anugerah Penghargaan Bandar Mampan 2021 tempat kedua bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Perbandaran, semalam.

Ia selepas pihak berkuasa tempatan itu meraih markah keseluruhan 92.58 peratus, selain mencatat keputusan cemerlang dalam 39 program MURNInets yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, penghargaan itu sekali gus melayakkan MPHTJ membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

“Kejayaan demi kejayaan terus dikecapi oleh MPHTJ dalam menjadi sebuah PBT yang unggul di Melaka khususnya dan Malaysia amnya.

“Pengukuran Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berasaskan kerangka MURNInets yang mengandungi lima strategi, enam dimensi, 20 tema dan 39 penunjuk yang dibentuk berdasarkan dasar pembangunan utama Negara berkaitan dengan ekonomi, sosial dan fizikal.

“Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya kepada Jabatan Perancangan Bandar MPHTJ sebagai urusetia dan penggerak kepada usaha berterusan sejak tahun 2012,” katanya dalam hantaran Facebook rasmi MPHTJ semalam.

SHADAN

Penghargaan itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di laman sosial Facebook, semalam.

Ujarnya, indeks kebahagian diukur melalui kajian kebahagian penduduk di dalam sesebuah kawasan PBT di dalam negara.

Indeks kebahagian juga, jelasnya, termasuk dalam satu indikator daripada 39 indikator di dalam program murninets.

“Pelaksanaan MURNInets ini turut disertai sebanyak 127 PBT yang terdiri daripada 98 PBT, tiga Wilayah Persekutuan dan 26 PBT Sabah,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post ‘Jaga rakyat dari dalam perut hingga ke liang lahad’ – Calon BN Asahan
Next post 7,601 kertas undi pos dikeluarkan bagi PRN Melaka
Ubah saiz-+=