MPHTJ tawar tapak niaga percuma

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 18 Nov. – Bagi membantu mereka yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, Melaka Mall di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada peniaga berniaga secara percuma.

Dalam satu kenyataan MPHTJ memaklumkan, tawaran berniaga secara percuma di kompleks beli-belah tersebut melibatkan kawasan tapak promosi meliputi ruang legar (berhadapan premis Parkson) hinggalah ke luar tapak bangunan iaitu di kaki lima.

“Tapak promosi ini percuma untuk sewaan dan hanya bayaran lesen diperlukan sehingga 31 Disember depan,” kata kenyataan tersebut.

KENYATAAN MPHTJ yang dimuatnaik di Facebook hari ini.

Selain itu, pihak Melaka Mall turut memberi promosi harga sewaan di lot-lot kedai di dalam kompleks beli-belah tersebut.

Promosi tersebut menawarkan harga sewaan di lot kedai serendah RM1.00 setiap satu kaki persegi dengan bayaran deposit untuk satu bulan sahaja.

Terdahulu, MPHTJ turut mengumumkan tawaran pengurangan sewaan khas 50 peratus kepada semua peniaga medan selera, gerai, pasar dan kiosk untuk tempoh dua bulan iaitu Disember 2020 dan Januari 2021.

Pihak berkuasa itu turut mengecualikan caj notis lewat cukai semasa penggal pertama 2021 serta pemberian cenderamata kepada 5,000 pembayar terawal untuk tempoh Penggal Pertama Tahun 2021 tanpa tunggakan.

MPHTJ juga menawarkan pengecualian caj lesen perniagaan bagi peniaga kecil atau penjaja sehingga 31 Disember 2020 dan pengecualian denda lewat pelesenan untuk semua jenis perniagaan sehingga 31 Disember 2020.

 

Views:

3010
Kongsi :
Previous post Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia
Next post Pembersihan 1,062 jalan di Melaka kini di bawah JKR
Ubah saiz-+=