MPJ lancar Tabung Prihatin Palestin

Masa Membaca:53 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Prihatin Palestin sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di negara itu yang terkesan akibat konflik bersenjata.

Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif berkata tabung dilancarkan 17 Oktober lalu turut mendapat kerjasama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Cawangan MPJ.

Katanya, ia bertujuan mengumpul dana untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.

“Demi menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin dan atas dasar Islam serta perjuangan, kami di MPJ mengambil inisiatif melancarkan Tabung Prihatin Palestin. Kami menyasarkan kutipan sehingga RM3,000 yang mana penyumbang adalah dalam kalangan kakitangan MPJ sendiri dan orang awam.

“Dana terkumpul selepas 30 November nanti akan disalurkan kepada umat Islam Palestin menerusi Persatuan Cinta Gaza Malaysia,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rosemanizam memaklumkan ANULAE MPJ merupakan agensi pertama yang melancarkan tabung prihatin terbabit.

“Kita harap bantuan ini dapat disalurkan kepada rakyat Palestin demi kelangsungan hidup mereka yang sedang berjuang mempertahankan tanah air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1016
Kongsi :
Previous post Perhebat dapatan sejarah Melaka di luar negara
Next post MISDEC ke Malaysia Techlympics 2023 November depan
Ubah saiz-+=