Perhebat dapatan sejarah Melaka di luar negara

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 19 Oktober – Usaha menjejak peninggalan sejarah berkaitan Negeri Melaka yang tersebar di serata dunia akan diperhebatkan lagi menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak di negara luar.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Zaidi Attan berkata, menerusi kerjasama yang terjalin ia bukan sahaja diharap mampu memperbanyakkan lagi penemuan baharu yang nyata sebaliknya turut membabitkan aspek budaya.

Berkongsi perkembangan terbaharu Zaidi berkata, Perzim akan melaksanakan jalinan kerjasama pemuziuman dua hala antara Melaka dan China.

“Bagi Negeri Melaka kita mahu mendapatkan lebih banyak bahan sejarah berkaitan Laksamana Hang Tuah manakala China pula berkenaan Laksamana Cheng Ho.

“Timbal balik dan perkongsian ilmu menerusi kerjasana ini akan memberikan manfaat besar, contohnya kita memperoleh lebih banyak maklumat terkini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kerjasama dan Promosi ‘Sailing the Seas Exhibition, di Jonker Street, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim,  Datuk Akramuddin Ab Aziz dan wakil kumpulan Jabatan Kebudayaan, Penyiaran dan Pelancongan Guangzhou, China.

Menurut Zaidi, inisiatif itu digerakkan oleh pengkaji tempatan daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Melaka (UNIMEL).

“Kajian ini sedang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri dan nanti Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan menunjukkan arah tuju kepada kajian. Kita mungkin akan wujudkan sebuah pusat kajian pembangunan bagi Hang Tuah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post Udang kayangan, harga rahmah – Exco
Next post MPJ lancar Tabung Prihatin Palestin
Ubah saiz-+=