Udang kayangan, harga rahmah – Exco
MERLIMAU 19 Oktober – Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) disaran untuk memasarkan hasil ternakan udang putih mereka pada harga mampu milik agar produk akuakultur itu dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan menerusi penyertaan PBM pada Program Jualan Agro Madani dan Program Jualan Rahmah (PJR).
“Kita minta PBM untuk bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meluaskan lagi pasaran produk mereka.
“Insya-Allah selepas ini orang Melaka boleh beli udang putih pada harga lebih rendah berbanding pasaran, bagaimanapun ia masih bergantung kepada saiznya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Kolam Ternakan Udang milik PBM di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sempang, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PBM, Tee Mei Ghee, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPeN) Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah dan Pengarah Urusan Atlantys Aqualife Sdn. Bhd. Mohd Silahuddin Jamaluddin.
Fairul Nizam berkata, inisiatif itu secara tidak langsung menyokong industri makanan di Negeri Melaka.
“Hasil tuaian udang putih direkodkan PBM bagi tempoh Januari hingga September lalu dalah kira-kira satu juga ekor, jadi tidak mustahil inisiatif ini dapat dilaksanakan untuk membantu rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.