MISDEC ke Malaysia Techlympics 2023 November depan
AYER KEROH 19 Oktober – Pasukan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) muncul johan bagi Cabaran Kereta Roket pada Pertandingan Techlympics Malaysia 2023 peringkat Zon Selatan, baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif MISDEC, Haiqal Syukri Jantan berkata kemenangan pasukan utama MISDEC itu melayakkan mereka ke Techlympics Malaysia 2023 di Putrajaya pada November depan.
Haiqal berkata, pasukan utama tersebut diwakili Muhammad Faris Shamsulamli dan Muhammad Daniel Ashraf Ramli.
“Pada kejohanan Techlympics Malaysia 2023 diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), MISDEC menghantar dua pasukan utama bagi Pertandingan Fizikal menerusi Cabaran 3D dan Cabaran Kereta Roket.
“Namun kemenangan hanya berpihak kepada pasukan Cabaran Kereta Roket yang membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah Haiqal Syukri, kemenangan pasukan utama itu menyuntik semangat dan meningkatkan motivasi pelajar MISDEC yang lain untuk terus mengorak langkah lebih jauh dengan menyertai pelbagai pertandingan melibatkan teknologi serta inovasi.
“Kami sentiasa menyokong, memberi ruang dan peluang kepada pelajar MISDEC untuk menimba ilmu bagi mendapatkan pengalaman apabila mereka mendapat pendedahan menerusi pelbagai pertandingan yang disertai.
“Pertandingan seperti Techlympics Malaysia 2023 itu mampu menonjolkan bakat dan kehebatan pelajar untuk bersaing, sekali gus dapat menunjukkan kreativiti serta inovasi mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.