MPJ lelong enam lembu tidak dituntut

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

JASIN 29 April – Empat lembu jantan dan dua lembu betina dilelong Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) kerana tidak dituntut selepas disita pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan nilai jualan RM12,000 setakat ini.

Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima 20 aduan berkenaan haiwan ternakan berkeliaran yang boleh merisikokan nyawa pengguna jalan raya.

“Aduan rasmi berkaitan haiwan ternakan lembu yang berkeliaran di bawah pentadbiran MPJ ini direkodkan bermula Januari sehingga April ini.

“Setakat ini kita berjaya menangkap 10 ekor lembu berkeliaran yang mana enam daripadanya telah dilelong dengan jumlah keseluruhan jualan RM12,000.

“Pemilik dinasihatkan supaya menjaga haiwan ternakan mereka jika tidak mahu haiwan ini (lembu) ditangkap dan dilelong kepada orang ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berharap operasi tangkapan dan lelongan awam itu dapat memberi peringatan kepada setiap penternak khususnya di kawasan Jasin supaya menjaga haiwan ternakan mereka.

“MPJ menerima banyak respon positif daripada pemimpin tempatan dan penduduk berkaitan operasi tangkapan lembu yang berkeliaran ini.

“Saya yakin operasi tangkapan dan lelongan awam ini mampu memberi peringatan kepada semua penternak di kawasan Jasin supaya tidak memandang mudah perkara ini hingga boleh merisikokan nyawa orang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post Lahir jurulatih sukan berkualiti
Next post Letupan bom Sungai Golok: PDRM tingkat kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand
Ubah saiz-+=