MPJ, Skuad Melaka Beef Farm pantau lembu terbiar

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

JASIN 20 Disember – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersama syarikat Melaka Beef Sdn Bhd bekerjasama bagi menjalankan penguatkuasaan berhubung aduan mengenai kehadiran lembu berkeliaran di tempat awam.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu dilaksanakan berikutan pihaknya dan MPJ kerap menerima aduan mengenai perkara itu.

Katanya, berikutan itu Melaka Beef diberi kuasa oleh MPJ untuk membantu menangkap lembu terbiar ini kerana mereka mempunyai kepakaran menternak dan menangkap lembu.

“Selepas ini Skuad Melaka Beef Farm diwujudkan yang mana mereka akan bersama penguatkuasa MPJ turun ke lapangan menangkap lembu terbiar mengikut aduan diterima.

“Selepas ditangkap, lembu-lembu ini akan disimpan di kawasan yang dikhaskan bagi memastikan urusan selepas itu berjalan lancar.

“Jadi kita tak perlu pening lagi kerana dah ada skuad yang terlatih untuk menangkap lembu terbiar di kawasan Jasin,” katanya.

Photo 2023 12 20 13 58 40
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan kad penguatkuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed sempena Majlis Perasmian Usahasama Pengurusan Ternakan Terbiar Daerah Jasin di Vista Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Hadir sama Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif.
Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Usahasama Pengurusan Ternakan Terbiar Daerah Jasin di Vista Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed.

Katanya, setakat ini MPJ menjadi perintis kepada pelaksanaan inisiatif itu dan jika berjaya ia akan dilaksanakan di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

“Skuad Melaka Beef Farm ini akan diberikan kelengkapan keselamatan seperti ‘vest’ dan kamera (diletakkan di badan) bagi memastikan tiada isu berlaku antara penternak haiwan ini.

“Ini sebagai pengajaran untuk memastikan haiwan ternakan mereka dijaga dengan baik, selain itu kita akan sediakan talian ‘hotline’ untuk memudahkan orang awam membuat aduan ,” katanya.

Untuk rekod Melaka Beef Sdn Bhd adalah syarikat yang dijaga di bawah Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Hospital Melaka ceriakan anak pesakit
Next post Karnival Esport Melaka 2023 Sabtu ini
Ubah saiz-+=