Mr Bozo, si penghibur kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

LENDU 8 Mei – ‘Mr Bozo,’ badut yang menghiburkan kanak-kanak dengan pembuatan objek mainan daripada belon tidak memerlukan terlalu lama untuk menawan hati mereka.

Hanya dalam tempoh kurang 60 saat, Mr Bozo sudah berjaya menyiapkan pelbagai bentuk objek untuk menceriakan kanak-kanak.

Dengan kepakaran dan kepantasan gerak tangannya memintal dan mengikat belon sebelum membentuk pelbagai rupa, Mr Bozo atau nama sebenarnya Norhaslin Nordin, 43, ternyata mampu memukau kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Jika sebelum ini, tangan Mr Bozo lebih banyak menghasilkan pelbagai jenis masakan di dapur hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan, kini tangan itu menghasilkan objek daripada belon seperti pistol, kuda, gajah, arnab dan seumpamanya.

“Sudah 10 tahun saya menjadi badut sepenuh masa selepas mendalami bidang pembuatan mainan daripada belon daripada rakan.

“Alhamdulillah, dengan rezeki itulah saya membesarkan enam anak berusia antara tiga hingga 19 tahun, selain dibantu dengan rezeki tambahan isteri berniaga pisang goreng,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Dia berkata, dengan mengenakan caj munasabah bagi setiap jam perkhidmatannya pada majlis seperti sambutan hari jadi, majlis perkahwinan dan pelbagai majlis keraian lain, dia menerima undangan di Kuala Lumpur, selain di negeri ini.

Dia berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan tahun lalu, dia tidak mampu meneruskan usaha mencari rezeki sedemikian.

“Saya memanfaatkan kemahiran membentuk produk kraftangan, terutama tabung diperbuat daripada tempurung kelapa sebelum menjualnya secara dalam talian,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur dengan fasa endemik sekarang yang memberi peluang kepadanya berusaha mencari rezeki demi keluarga tersayang.

Jelasnya, belon berkenaan diperoleh melalui penghantaran oleh syarikat pembekal di Kuala Lumpur dan lazimnya dia membuat pesanan belon yang mampu digunakan selama sebulan.

Katanya, pada musim cuti sekolah, jumlah undangan pelanggan meningkat, terutama daripada keluarga yang menganjurkan majlis perkahwinan dan sambutan hari jadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1607
Kongsi :
Previous post Ismail Sabri rai tetamu, pengunjung rumah terbuka
Next post Bekas Pengarang Urusan Bernama meninggal dunia
Ubah saiz-+=