MUFC akan kemuka rayuan rasmi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 23 Mac – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akan mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mengembalikan tiga mata yang ditolak susulan kegagalan kelab itu menyelesaikan baki tunggakan gaji mengikut jadual ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, pihaknya akan bertemu empat mata dengan kepimpinan MFL dan menyerahkan surat rayuan bagi membincangkan hukuman itu.

“MUFC menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap kenyataan dikeluarkan MFL yang menghukum MUFC atas masalah pembayaran gaji sebelum ini.

“Saya akan lihat dari segenap sudut mengenai isu berkenaan (pemotongan tiga mata) dalam pertemuan bersama kepimpinan MUFC malam ini dan saya sendiri akan mengemukakan rayuan kepada MFL bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

MFL dalam kenyataan media pada 19 Mac lalu menjelaskan keputusan hukuman terhadap MUFC dibuat selepas mesyuarat oleh badan bebas iaitu First Instance Body (FIB) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa yang lain.

Menurut kenyataan itu, MUFC pada tarikh akhir pertama iaitu 31 Januari lalu berjaya membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

Begitupun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, MUFC didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Lebih 450,000 individu terima suntikan vaksin COVID-19 setakat 22 Mac
Next post Dibenar buat liputan latihan pasukan Liga M, khabar gembira- SAM
Ubah saiz-+=