MUFC bakal diambil alih pemilik baharu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja timbul khabar angin mengaitkan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) bakal mempunyai pemilik baharu.

Difahamkan, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan MUFC dan pihak terbabit bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini, Melaka Hari Ini telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Saiful Mat Sapri.

Tanpa berselindung, Saiful mengakui wujudnya rundingan bersama satu pihak (yang tidak didedahkan namanya), yang mana beliau memaklumkan majlis menandatangi MoU itu akan diadakan esok di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Katanya, majlis tersebut amat penting kepada pasukan memandangkan pihak berkenaan bakal menjadi penaja utama skuad Hang Tuah pada musim ini.

“MoU itu bukan sahaja membabitkan aspek tajaan besar kepada pasukan tetapi boleh juga dikatakan mereka bakal mengambil alih atau menjadi pemilik MUFC.

“Mengenai nilai tajaan, saya tidak boleh komen dahulu. Apa-apapun, tunggu sahaja pengumuman mengenainya yang akan dibuat pada Rabu (esok) di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diambil alih pemilik baharu, pengurusan sedia ada termasuk dirinya selaku Ketua Pegawai Eksekutif masih diberi kepercayaan untuk mentadbir pasukan sepanjang musim ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan pemain dan pegawai pasukan untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Dalam perjumpaan itu, saya telah meminta semua memberikan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Penang FC malam esok bagi menunjukkan sesuatu yang positif kepada penaja baharu ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Tiket perlawanan MUFC, Penang FC terjual 10 peratus
Next post 306,803 individu lengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=