MUFC buntu cari lokasi berlatih

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

RENTAK persiapan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) bagi pusingan kedua Liga Super pada Julai depan nyata terjejas apabila sehingga kini belum menemui lokasi sesuai untuk memulakan sesi latihan secara berpasukan.

Pengurus Pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, skuad Hang Tuah dijadual menjalani latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan (Camp-based Training) dalam masa terdekat, namun faktor ketiadaan lokasi yang boleh menjamin keselamatan pemain dan orang awam menjadi cabaran utama sehingga kini.

Menurutnya, sebelum ini, MUFC bercadang untuk menggunakan kemudahan latihan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai lokasi latihan berikutan kos di institut pengajian tinggi (IPT) itu lebih rendah berbanding penggunaan stadium.

Namun, ujarnya, di atas sebab tertentu, pemilihan UTeM sebagai lokasi latihan berpusat terpaksa dilupakan.

PENGURUS Pasukan Melaka United Muhammad Akram Abdullah. Foto MUSA

“Fasiliti di UTeM tidak dapat kita gunakan kerana difahamkan terdapat kira-kira 2,000 pelajar masih berada di kolej kediaman dan mereka baru sahaja selesai menjalani isolasi selama 10 hari.

“Selain itu, UTeM juga akan menjadi satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk orang awam di negeri ini dan itu membuatkan aspek kawalan keselamatan dan kesihatan membabitkan pelajar dan pemain MUFC sendiri sukar untuk direncanakan.

“Buat masa ini, kami akan memikirkan cara lain untuk pemain menjalani sesi latihan dengan selesa dan selamat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Akram berkata, disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, pemain MUFC kini hanya menjalani sesi latihan sendiri mengikut program yang telah disediakan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan sehinggalah keadaan COVID-19 kembali reda.

Pada masa sama, katanya, pihak pengurusan akan terus mencari lokasi dan fasiliti yang sesuai untuk menjalani sesi latihan berpusat secara kuarantin dalam masa terdekat.

“Tidak dinafikan semua yang berlaku membuatkan persiapan kita terganggu. Apapun, kita cuba aturkan Camp-based Training dengan segera selepas merasakan keselamatan pemain terjamin,” katanya lagi.

MUFC perlu mencari lokasi sesuai untuk mengadakan sesi latihan berpusat secara kuarantin. (Foto: MUFC)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post PBKD luluskan kebenaran bersyarat Ravida® Tablet 200mg
Next post Lepas status tutup pintu, Pak Long Ismail belanja nasi ayam kunyit
Ubah saiz-+=