MUFC cadang semua stesen televisyen diberi hak penyiaran Liga Malaysia 2021

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MELAKA United Football Club (MUFC) mencadangkan semua stesen penyiar televisyen di negara ini diberikan hak penyiaran bagi perlawanan Liga Malaysia musim 2021 yang dijangka membuka tirai penghujung bulan depan.

Perkara itu antara yang disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri ketika menghadiri Taklimat Terkini dan Perbincangan Prosedur Operasi Standard (SOP) Latihan dan Perlawanan Liga Malaysia Musim 2021 secara dalam talian, petang semalam.

Menurutnya, siaran perlawanan melalui televisyen adalah langkah yang penting sepanjang tempoh pandemik COVID-19 memandangkan kehadiran penonton ke stadium masih belum dibenarkan.

“Antara yang diutarakan termasuk mencadangkan MFL untuk mengadakan perbincangan dengan semua stesen penyiar televisyen di negara ini bagi hak penyiaran Liga Malaysia 2021.

“Siaran perlawanan di televisyen sangat penting bagi memastikan Liga Malaysia dapat kembali menarik tontonan terutama dalam kalangan penyokong bagi menyaksikan pasukan masing-masing beraksi pada ketika mereka masih tidak dibenarkan ke stadium berikutan kebimbangan penularan Pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ghani Ab Hassan dan turut disertai Presiden MFL, Datuk Wira Hamidin Mohd Amin, wakil-wakil kelab Liga Malaysia serta rakan kongsi MFL.

Turut bersama mengikuti taklimat berkenaan bagi pihak MUFC ialah Pengurus Pasukan Mohamad Akram Abdullah dan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Views:

421
Kongsi :
Previous post PKP dijangka tidak akan dilanjutkan
Next post KKM sasar program vaksinasi COVID-19 selesai akhir tahun ini
Ubah saiz-+=