MUFC ‘diikat’ pasukan tercorot

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh apabila terikat 1-1 dengan kelab di tangga tercorot Liga Super, UiTM FC, malam tadi.

Aksi di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan anak buah Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu di depan pada minit ke-44 sebelum dikecewakan pada minit-minit akhir permainan.

Skuad Hang Tuah yang turun dengan misi wajib menang bermula dengan agresif sebaik wisel permulaan dibunyikan untuk mencari gol awal.

Satu peluang keemasan berjaya diperoleh Giovanne Gomez di awal-awal permainan, namun gagal dimanfaatkannya biarpun berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.

Tatkala aksi dilihat berakhir tanpa jaringan pada rehat separuh masa pertama, S Kumaahran berjaya memecahkan kebuntuan dan meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-44.

Gol itu terhasil berpunca daripada aksi kucar-kacir di hadapan gawang UiTM FC, bermula dengan sepakan Manuel Ott yang terkena tiang sebelum bola berjaya dirampas dan dimanfaatkan Kumaahran yang melakukan rembatan deras menewaskan penjaga gol lawan.

Bersambung di separuh masa kedua, tidak banyak aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.

MUFC memperoleh satu peluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-67, namun disia-siakan pemain gantian, Mohamad Fakhrullah Rosli walaupun menerima umpanan cantik daripada Sony Norde.

Kealpaan benteng pertahanan MUFC akhirnya mengundang padah apabila Victor Nirennold berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83.

Di masa kecederaan UiTM FC hampir sahaja menggandakan jaringan menerusi Muhamad Rafie Mat Yaakob, namun tindakan cemerlang kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menggagalkan percubaan tersebut.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Satu mata yang diperoleh itu bagaimanapun berjaya membantu MUFC naik satu anak tangga ke kedudukan ke-9 Liga Super dengan 17 mata daripada 19 perlawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post Busana rekaan anak tempatan raih perhatian wanita Australia
Next post DAP sedia pertimbang tawaran sertai MPN dan Jawatankuasa Khas COVID-19
Ubah saiz-+=