MUFC ‘mandi peluh’ sebelum curi satu mata

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) bermandi peluh sebelum berjaya mencuri satu mata berharga ketika bertandang ke Stadium Darul Makmur dalam aksi menentang Sri Pahang FC, malam tadi.

MUFC ketinggalan seawal minit pertama, sebelum pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria muncul wira dengan menjaringkan gol di minit-minit akhir permainan.

Satu mata yang diraih cukup untuk membantu skuad Hang Tuah keluar dari zon penyingkiran dan naik ke tangga ke-10 Liga Super dengan mengutip 12 mata daripada 14 perlawanan.

Dalam aksi itu, gawang MUFC dibolosi dalam tempoh 47 saat sebaik wisel permulaan apabila Manuel Hidalgo mudah menanduk masuk bola hantaran Abdul Malik Mat Ariff untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang tampak tidak bersedia.

Berselang tiga minit selepas itu, Giovane Gomes da Silva nyaris mengikat kedudukan 1-1, namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Sri Pahang FC, Helmi Eliza Elias.

Aksi kedua-dua pasukan tampak lebih seimbang selepas itu, namun tiada percubaan berbahaya dihasilkan dan keputusan separuh masa pertama kekal 1-0.

Bersambung di babak kedua, pintu gol MUFC sekali lagi dicemaskan sejurus sepak mula apabila Aung Kaung Mann berjaya melepasi pertahanan dan merembat bola ke arah gawang.

Mujurlah, Khairul Fahmi dilihat bersedia dan berjaya menangkap kemas bola tersebut.

Perlawanan bagaimanapun dihentikan seketika pada minit ke-47 apabila satu daripada lampu limpah di Stadium Darul Makmur tiba-tiba terpadam.

Aksi yang tertangguh selama 11 minit itu disambung selepas masalah lampu limpah selesai.

Pasukan pelawat yang sedikit tertekan dilihat cuba memperkemas permainan dan melakukan beberapa percubaan untuk mencari gol penyamaan.

Namun, beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan sepenuhnya jentera serangan MUFC yang dikemudi Gomes, Sony Norde dan Adriano Aparecido Narcizo.

Sebaliknya, Pahang pula dihadiahkan sepakan penalti apabila Mohd Akmal Md Zahir menjatuhkan Abdul Malik pada minit ke-70.

Sepakan yang diambil Herold Goulon bagaimanapun berjaya diselamatkan Khairul Fahmi yang berjaya menepis bola keluar.

Zainal Abidin Hassan mula mengatur corak permainan baharu dengan mengeluarkan Gary Steven Robbat dan S Kumaahran dan digantikan Faris Shah Rosli dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila Wan Zaharulnizam berjaya merembat deras bola hantaran Faris Shah pada minit ke-87 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Keputusan itu kekal sehingga pengadil perlawanan S Logeswaran meniupkan wisel penamat biarpun memberikan tambahan masa 14 minit perlawanan susulan insiden lampu limpah terpadam.

Selepas ini, MUFC dijadual melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium Hang Jebat pada 28 Julai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post Melaka catat lima kematian akibat COVID-19 hari ini
Next post Isu pekerja kontrak kesihatan: Jangan sertai demonstrasi esok
Ubah saiz-+=