MUFC tak rela hilang mata di Petaling Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) tidak rela kehilangan mata dalam aksi menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), di Stadium MBPJ Petaling Jaya, malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, selepas diikat Sabah FC 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Super di laman sendiri Sabtu lalu, anak buahnya tidak boleh mengulangi kesilapan sama dan perlu berjuang habis-habisan untuk mencuri mata berharga di tempat lawan.

“Saya berharap pemain akan cepat pulih daripada aksi pertama tempoh hari dan mereka juga perlu mendapatkan keserasian dengan segera dalam masa terdekat.

“Kecergasan dan keserasian amat penting kerana kita bakal menempuh jadual padat dalam masa yang singkat.

“Bagi saya, lima perlawanan terdekat kita selepas ini amatlah penting dan kita tidak boleh kehilangan mata lagi. Mahu atau tidak, kita perlu bangkit untuk mempertingkatkan pasukan,” katanya.

Meskipun begitu, misi MUFC di Petaling Jaya disifatkan sedikit terganggu apabila beberapa tonggak utamanya mengalami kecederaan, termasuk penjaring pertama pasukan musim ini, S Kumaahran yang terpaksa dikeluarkan pada minit akhir perlawanan menentang Sabah FC, Sabtu lalu.

Zainal bagaimanapun percaya kecederaan dialami pemain berusia 24 tahun itu tidak terlalu serius dan berharap dia dapat diturunkan dalam aksi kedua liga esok.

“Dia (Kumaahran) telah berusaha bermati-matian dan menunjukkan semangat yang diinginkan dalam aksi pertama tempoh hari. Bagi saya dia memang tonggak yang penting untuk pasukan.

“Saya difahamkan kecederaannya tidak terlalu serius. Jadi saya berharap sangat dia dapat pulih sepenuhnya dan diturunkan dalam perlawanan itu nanti,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post 21 hari seperti 21 tahun
Next post Jualan jeruk mangga mampu raih lebih RM600,000 sebulan!
Ubah saiz-+=