Muhyiddin bentang PPN pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 26 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula jam 10 pagi, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persidangan selama lima hari itu juga akan menyaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penerangan mengenai tindakan menangani pandemik COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadual menerangkan berkenaan program vaksinasi.

SIDANG Khas Dewan Rakyat bermula hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menerangkan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Menteri Pertahanan dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat, pada akhir mesyuarat kelak.

Semasa sesi penerangan itu, Ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk meminta penjelasan dan mengemukakan pandangan sebelum menteri memberi jawapan berhubung isu dibangkitkan.

Sebanyak 12 dokumen merangkumi tiga Proklamasi Darurat dan sembilan Ordinan Darurat diletak di atas meja Ahli Parlimen.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post Warga emas, OKU boleh ‘walk-in’ ke PPV di Melaka mulai hari ini
Next post Ketua parti diminta tentukan kehadiran dalam dewan- Speaker
Ubah saiz-+=