Mulianya pengorbananmu! Pesara wakaf tanah 0.4 hektar untuk SRA JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TABOH NANING 10 April – Bukan mudah untuk mewakafkan tanah seluas 0.4 hektar jika tanpa didorong rasa kasih dan cinta akan akhirat kerana tanah seluas itu mampu digunakan untuk pelbagai tujuan dunia.

Namun, bukan kepentingan dunia yang dikejar pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Johari Salleh, 68, sebaliknya pahala yang mengalir bak sungai di akhirat yang lebih utama.

Bapa kepada lima anak berusia antara 30 hingga 45 tahun itu berkata, beliau amat bersyukur kelima-lima anaknya bersetuju beliau mewakafkan tanah berkenaan untuk membina Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Pa’abas, di sini.

JOHARI. 

“Semasa kecil saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Pa’abas dan selepas merantau jauh, saya balik ke kampung dan mendapati murid SRA terpaksa menumpang di SK kerana tiada bangunan sendiri.

“Saya membuat tawaran kepada JAIM untuk mewakafkan tanah bagi membolehkan sekolah agama didirikan kerana saya tidak sanggup melihat anak-anak kampung terpaksa menumpang di SK,” katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian sekolah berkenaan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ar. Ismail Othman serta Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 ibu bapa dan anggota komuniti Ayer Pa’abas, selain Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat dan Guru Besar, Omi Kalsom Shahadan.

SRA JAIM Ayer Pa’abas, Taboh Naning dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh Johari.

Tanah seluas 0.4 hektar diwakafkan Johari pada 2013 dan kerja pembinaan dimulakan pada 19 Januari 2019.

Bangunan berkenaan siap dibina pada 20 Januari 2020 dengan kos RM2.5 juta dibiayai kerajaan negeri.

Sekolah itu mempunyai 420 murid dalam dua sesi yang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Johari berkata, setiap kali menyaksikan anak-anak kampung itu berulang alik ke sekolah, beliau amat bersyukur dan berdoa agar mereka menimba ilmu dengan penuh keberkatan Allah.

Katanya, tanah dan harta dunia yang lain tidak mampu dibawa bersama-sama ke dalam liang lahad, cuma amal jariah yang diharapkan sentiasa mengalir bagaikan sungai yang tidak pernah kering.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post Karnival Kerjaya 3 Daerah dirasmikan Ketua Menteri
Next post AUDIO: Ahmad Zahid perlu segerakan laporan polis elak spekulasi
Ubah saiz-+=